Rakyat Malaysia di Indonesia diminta waspada letusan Gunung Berapi di Flores

FOTO pada 9 November 2024 menunjukkan letusan Gunung Lewotobi Laki Laki yang dilihat dari kawasan rehat Eputobi di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang berada di atau melawat Indonesia dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini berhubung letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Isnin mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia di kawasan itu berada dalam keadaan selamat, sambil menambah bahawa pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberikan maklumat terkini yang diperlukan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang belum mendaftar untuk berbuat demikian menerusi E-Konsular bagi memastikan mereka menerima sokongan dan kemas kini tepat pada masanya.

Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di Jl H R Rasuna Said Kav.X/6, No 1-3, Kuningan, Jakarta Selatan 12950, melalui telefon di +62 21 522 4947 / +62 813 8081 3036, atau menerusi e-mel di mwjakarta@kln.gov.my.

Setakat ini, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 10 kematian akibat letusan itu.

Letusan itu turut menyebabkan awan abu tebal, mengakibatkan penutupan lapangan terbang di kawasan terjejas.

Sejak 4 November, selepas letusan awal, gunung berapi itu memberi kesan kepada enam kampung di Daerah Wulanggitang dan empat kampung di Daerah Ile Bura, membabitkan anggaran 10,000 orang.

Pihak berkuasa menaikkan tahap amaran bagi Gunung Lewotobi Laki-Laki ke tahap tertinggi, memandangkan gunung berapi itu mengeluarkan abu coklat tebal setinggi dua kilometer setiap hari sepanjang minggu lepas.

Source :