Maresca calon utama ganti Guardiola

LONDON: Bekas pengurus Manchester City, Enzo Maresca dijangka menggantikan Pep Guardiola di Stadium Etihad musim depan, menurut laporan media Britain.

Perkembangan itu hadir susulan laporan mendakwa Guardiola bakal meninggalkan City hujung musim ini selepas sedekad penuh gemilang bersama juara England itu.

Maresca, 46, sebelum ini pernah menjadi pembantu Guardiola ketika City memenangi treble pada musim 2022-23 sebelum meninggalkan kelab untuk mengendalikan Leicester City pada tahun 2023.

Jurulatih dari Itali itu kemudian menyertai Chelsea pada tahun 2024 dan membantu kelab London itu menjuarai Liga Konferens Eropah serta Piala Dunia Kelab 2025.

Namun, hubungannya dengan pengurusan Chelsea dikatakan retak selepas beberapa kali mengakui sudah mengadakan perbincangan dengan City tentang kemungkinan menggantikan Guardiola.Play

Guardiola, 55, masih mempunyai baki kontrak setahun bersama City tetapi beberapa laporan menyebut beliau mahu berundur lebih awal.

Sepanjang 10 tahun di Manchester, Guardiola membawa City memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, satu Liga Juara-Juara Eropah serta pelbagai trofi domestik lain.

Musim ini, City sudah menjulang Piala Liga dan Piala FA, selain masih berpeluang merampas gelaran liga daripada Arsenal jika memenangi baki dua perlawanan dan pesaing mereka tercicir mata.

Maresca dianggap calon utama untuk meneruskan legasi Guardiola kerana falsafah permainannya yang hampir serupa hasil pengalaman bekerja rapat bersama pengendali Sepanyol itu di Etihad. – AGENSI