Pembantu pengurus rugi RM163,500 angkara Chloe Lau

NILAI: Seorang pembantu pengurus sumber manusia kerugian lebih RM150,000 selepas terjebak dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud.

Mangsa tertarik dengan skim pelaburan itu yang dikatakan mempunyai rekod memberi keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit kepada pelabur.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, berkata jam 6.33 petang semalam, kaunter aduan Balai Polis Nilai terima aduan seorang wanita tempatan berusia awal 40-an mengenai kejadian itu.

“Mangsa menyatakan pada 18 Mac lalu, dia berurusan dengan individu yang dikenali dengan nama Chloe Lau melalui laman sosial menawarkan skim pelaburan saham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengadu berminat untuk melabur dalam skim itu kerana dijanjikan keuntungan yang lumayan dan diminta untuk muat turun aplikasi bernama ‘AB Limited’.

Tambahnya, pengadu seorang pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Nilai dikatakan memindahkan wang ke beberapa akaun berjumlah RM163,500.

“Bagaimanapun semalam, pengadu sedari ditipu selepas beberapa kali cuba mengeluarkan keuntungan melalui aplikasi AB Limited tetapi tidak berjaya,” katanya.

Johari berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.