MELAKA – “Menggigil saya bila jumpa duit sebanyak itu. Jadi tak tentu arah terus saya teringat YB (Yang Berhormat) dan datang ke sini untuk serah duit.
“Nak pergi balai polis saya takut sebab tak pandai nak cakap macamana. Banyak duit itu nak buat minum pun saya takut apa nak jawab ka ‘sana’ (akhirat) nanti”.
Itu kejujuran seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal dikenali Azlan yang memilih untuk hadir ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong, Selasa lalu.
Lebih mengharukan, dia hadir menaiki motosikal roda tiga OKU dan terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan bagi menyerahkan sendiri wang tunai berkenaan kepada ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mohd Noor Helmy terkejut apabila mendapat berita itu ketika berada di program lain sebelum itu apatah lagi wang sebanyak itu yang tidak bertuan dijumpai seorang lelaki OKU fizikal.

“Saya kagum kerana dia tidak berfikir ‘rezeki’ itu datang padanya kerana kekurangan diri atau menjadikannya alasan untuk mengambil hak orang lain.
“Sifat sebegini sangat jarang ditemui dan saya secara peribadi amat menghargai kejujuran abang Azlan walaupun diuji dengan keadaan OKU fizikal,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, wang berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Kandang bagi membantu mengesan pemiliknya.
“Jika ada individu yang kehilangan wang dalam jumlah yang besar, mereka boleh hadir ke Balai Polis Kandang untuk membuat semak silang dengan pihak polis di sana.
“Mereka akan ditanya mengenai keadaan dan jumlah wang, lokasi serta waktu kehilangan bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan wang dan ia dapat dipulangkan kepada pemiliknya yang sebenar,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kebaikan Azlan atau cuba meneka maklumat berkaitan wang tersebut.
“Hari ini abang Azlan sudah buktikan walaupun fizikalnya OKU tapi hati dan imannya tidak OKU. Negara akan berkat jika pemimpin (ketua) sebaik-baik pemimpin (mudah-mudahan).
“Tentera (penjawat jawatan) sebaik-baik tentera (mudah-mudahan) dan rakyat sebaik-baik rakyat (orang Duyong baik-baik semuanya, insya-Allah),” katanya. – MalaysiaGazette

