KUALA LUMPUR: Skuad NFDP A terus konsisten melakar dua kemenangan berturut-turut dalam kategori Bawah 12 tahun (B-12) Kejohanan Bolasepak Piala Supermokh 2024 apabila menundukkan kelab dari Thailand, Pattaya United, 3-0 pada aksi di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.
Dua gol jaringan Badrul Hazim Hazimi dan Putra Rayyan Zaftran pada separuh masa kedua sudah cukup buat skuad kendalian Abdul Ghani Malik meraih mata penuh selepas dua perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan mereka mengulangi prestasi pada perlawanan pertama di mana mereka meraih kemenangan 5-2 ke atas pasukan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS).
Ghani menyifatkan kemenangan kedua itu pasti menyemarakkan semangat mereka untuk memburu tiga lagi mata berdepan wakil Indonesia, Asiop Academy, esok.
“Syukur Alhamdulillah apa yang dirancang berjaya diterjemahkan barisan pemain dengan usaha yang berterusan sehingga gol berjaya dihasilkan.
“Saya selalu ingatkan pemain agar jangan mudah putus asa dan teruskan mencuba sehingga menjadi kenyataan, akhirnya tiga gol berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua.
“Mengatasi Pattaya United (3-0) menaikkan motivasi buat pemain dan memberi peluang buat saya menurunkan pemain-pemain yang belum beraksi untuk melihat serta menilai kemampuan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua jurulatih Pattaya United, Chokchai Tespan menyifatkan anak buahnya berdepan tugas sukar untuk berhadapan dengan pemain NFDP A.
“Pemain saya agak tertekan dengan corak pemain lawan dan dapat dilihat di mana kami banyak bertahan kerana gagal menembusi bahagian tengah.
“Kualiti permainan lawan hari ini sangat berbeza berbanding semalam apabila menewaskan Asiop Academy (2-1). Jadi kami perlu akui bahawa NFDP A adalah pasukan terbaik,” katanya.