LONDON: TikTok dan YouTube milik Alphabet gagal mengemukakan langkah berkesan bagi melindungi kanak-kanak Britain daripada kandungan berbahaya dalam talian, kata pengawal selia media Britain, Ofcom hari ini.
Ofcom berkata, kedua-dua syarikat itu tidak membuat komitmen baharu yang ketara untuk menjadikan algoritma cadangan kandungan lebih selamat, walaupun terdapat bukti fungsi berkenaan menjadi jendela utama kanak-kanak terdedah kepada kandungan berbahaya.
Kerajaan di seluruh dunia kini memperhebatkan usaha meningkatkan keselamatan kanak-kanak di internet dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menggesa syarikat media sosial memikul tanggungjawab lebih besar.
Britain sedang meneliti kawalan lebih ketat termasuk kemungkinan melarang individu bawah 16 tahun menggunakan media sosial, mengikuti langkah Australia bagi menangani ciri reka bentuk aplikasi yang dianggap ketagihan.
Kajian Ofcom mendapati 73 peratus kanak-kanak berusia 11 hingga 17 tahun terdedah kepada kandungan berbahaya dalam tempoh empat minggu dengan kebanyakannya menerusi algoritma cadangan kandungan peribadi.
6%2F05%2F1561641%2Ftiktok-youtube-ketinggalan-dalam-kawalan-keselamatan-kanak-kanak%22
TikTok dikenal pasti sebagai platform paling kerap dikaitkan dengan pendedahan itu dan diikuti YouTube, Instagram milik Meta dan Snapchat milik Snap.
TikTok dan YouTube menegaskan sistem sedia ada mereka sudah memadai, namun Ofcom berpandangan algoritma cadangan kandungan di kedua-dua platform ‘masih belum cukup selamat.
Jurucakap YouTube berkata platform itu menyediakan pengalaman ‘berkualiti tinggi dan bersesuaian mengikut umur’ untuk pengguna muda dengan kerjasama pakar keselamatan kanak-kanak.
“Kami mengalu-alukan langkah syarikat lain dalam industri yang akan turut memperkenalkan ciri perlindungan sama,” katanya.
Jurucakap TikTok pula berkata pihaknya ‘amat kecewa’ kerana Ofcom gagal mengiktiraf ciri keselamatan lama dan baharu yang diperkenalkan platform itu.
“Kami akan terus melabur dalam langkah keselamatan untuk pengguna,” katanya.
Snap, Meta dan Roblox sebelum ini bersetuju memperkenalkan perlindungan lebih ketat terhadap eksploitasi seksual dalam talian susulan tuntutan Ofcom bulan lalu.
Di bawah komitmen itu, Snap akan menyekat orang dewasa tidak dikenali daripada menghubungi kanak-kanak secara automatik dan memperluas semakan umur di Britain.
Meta pula merancang kawalan baharu bagi akaun remaja serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan perbualan mencurigakan, manakala Roblox membenarkan ibu bapa menutup fungsi mesej langsung bagi pengguna bawah 16 tahun.
Hampir setahun selepas tanggungjawab keselamatan kanak-kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian dikuatkuasakan, Ofcom berkata masih tiada peningkatan ketara dalam mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya.
Pengawal selia itu berkata platform utama terus mendominasi aktiviti dalam talian kanak-kanak dengan YouTube digunakan 67 peratus kanak-kanak dan TikTok 60 peratus, manakala 95 peratus menggunakan sekurang-kurangnya satu perkhidmatan media sosial atau perkongsian video.
Ofcom turut menegur penguatkuasaan lemah terhadap syarat umur minimum, dengan 84 peratus kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun menggunakan platform yang menetapkan umur minimum 13 tahun.
Menurut Ofcom, undang-undang sedia ada tidak secara jelas mewajibkan syarikat menghalang pengguna bawah umur daripada mengakses platform mereka dan menggesa kerajaan memperkukuh peruntukan undang-undang itu.
Secara berasingan, platform X milik Elon Musk bersetuju memperketat penguatkuasaan terhadap ucapan kebencian dan kandungan keganasan haram termasuk menyemak kandungan sedemikian dalam tempoh purata 24 jam serta berkongsi data suku tahunan dengan Ofcom.
Ofcom turut memaklumkan pihaknya masih meneliti sistem X dan chatbot Grok selepas laporan Reuters awal tahun ini mendapati alat itu boleh menghasilkan imej berunsur seksual dalam banyak keadaan walaupun terdapat amaran pengguna. – AFP

