SEPANG – Misi kemanusiaan ke Gaza menerusi Global Sumud Flotilla (GSF) dan Sumud Nusantara tidak akan terhenti meskipun peserta didakwa berdepan penyeksaan, gangguan serta tekanan fizikal sepanjang operasi tersebut.
Ketua Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, segala bentuk kekerasan dan layanan tidak berperikemanusiaan yang dialami delegasi antarabangsa itu akan dibawa ke mahkamah antarabangsa selain tekanan diplomatik terhadap rejim Zionis Israel akan terus dipertingkatkan.
“Bukan sekali, dua kali mereka diseksa. Kita juga akan membawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa.
“Kita akan teruskan tekanan dari sudut diplomatik dan kita akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk memberi penerangan kepada rakyat,” katanya ketika berucap selepas ketibaan delegasi misi berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Menurut Amirudin, para aktivis yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyampaikan bantuan kepada Gaza akan terus digerakkan bagi membawa suara rakyat Malaysia ke pentas dunia.
Katanya, perjuangan membela Palestin bukan lagi sekadar slogan atau himpunan solidariti semata-mata, sebaliknya telah diterjemahkan melalui pengorbanan sebenar rakyat Malaysia.
“Hari ini terbukti rakyat Malaysia sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi kemanusiaan dan demi membebaskan Gaza daripada kejahatan Zionis yang telah berlaku puluhan tahun,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa terdapat cubaan sistematik untuk menggagalkan misi berkenaan termasuk penyebaran maklumat palsu, serangan fizikal terhadap delegasi serta tekanan terhadap ahli keluarga peserta.
“Ada serangan-serangan halus dibuat untuk melihat kegagalan misi ini. Ada yang menyerang delegasi kita secara fizikal dan ada ahli keluarga mereka turut ditekan,” katanya lagi.
Terdahulu, seramai 28 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selamat tiba di KLIA pada pukul 11.05 malam.
Kepulangan mereka disambut Amirudin bersama Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby selain ahli keluarga dan penyokong yang mula berkumpul sejak pukul 8 malam.
Delegasi berkenaan sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada pukul 2.21 pagi waktu tempatan sebelum transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.
Bagaimanapun, seorang peserta Malaysia, Razman Mat Ali tidak dapat pulang bersama delegasi lain kerana masih menerima rawatan di Istanbul selepas dilaporkan mengalami ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel. – MalaysiaGazette

