MELAKA – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah rumah dekat Banda Hilir di sini, baru-baru ini.
Sumber berkata, kejadian kira-kira jam 9 malam 14 Mei itu disedari keluarga pelajar sekolah berkenaan apabila remaja terbabit tidak menyahut apabila dipanggil.
Menurutnya, keluarga si mati kemudian terkejut apabila mendapati mangsa ditemukan tergantung di bahagian stor di belakang rumah.
“Ahli keluarga dikatakan cuba menyelamatkanya namun remaja itu tidak memberikan sebarang tindak balas sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan mengalami tekanan sejak kebelakangan ini dan menunjukkan perubahan tingkah laku membuatkan keluarganya turut bimbang,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan di lokasi kejadian dan tubuh badan mangsa bagaimanapun tidak menemukan sebarang unsur jenayah atau kesan kecederaan lain.
Mayat kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette

