Bayi perempuan 11 bulan maut terlangkup dalam baldi di Seremban

KUALA LUMPUR – Bayi perempuan berusia 11 bulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di dalam baldi dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, Seremban, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, bayi berkenaan disedari berada dalam keadaan terlangkup di dalam baldi berisi air jam 2.30 petang.

Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima laporan polis berkaitan satu kes kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan di sebuah rumah pada pukul 7.22 petang semalam.

Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa diasuh neneknya bermula jam 9 pagi pada hari kejadian sementara ibu dan bapa bayi berkenaan keluar bekerja.

“Kira-kira jam 2.30 petang, mangsa dibiarkan tidur di dalam buaian sementara neneknya memasak dan menjemur pakaian.

“Tidak lama selepas itu, neneknya menyedari mangsa sudah tiada di dalam buaian dan selepas mencari, mangsa didapati berada di dalam sebuah baldi yang berisi sedikit air sabun di halaman belakang rumah dalam keadaan kepala di bawah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum di rujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, namun disahkan meninggal dunia di hospital oleh pegawai perubatan pada jam 4.30 petang.

Ujarnya, bedah siasat dijalankan pada jam 1 pagi tadi, bagaimanapun punca kematian masih dalam siasatan (pending lab investigation).

Susulan kejadian itu, kata beliau, satu tangkapan dilakukan terhadap seorang wanita berumur 54 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor R Sinniah di talian 06- 6033222. – MalaysiaGazette