Tren laluan Ampang tergelincir, 25 penumpang terjejas

KUALA LUMPUR – Sebuah tren laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin pagi tadi.

Mengesahkan kejadian tersebut, Rapid KL berkata, ia menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak dan menjejaskan jadual perkhidmatan laluan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan dilaporkan.

“Keselamatan penumpang dan petugas adalah keutamaan, dan pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi,”katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, ketika kejadian terdapat 25 penumpang berada di dalam tren terbabit dan semuanya dipindahkan mengikut prosedur operasi.

Terdahulu, Rapid KL mengesahkan gambar insiden yang tular di media sosial adalah sahih.

Selain itu perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi memastikan kelangsungan perjalanan penumpang.

Antara langkah alternatif yang disediakan ialah tren ulang-alik di beberapa stesen termasuk Sentul Timur, Cheras, Bandar Tasik Selatan, Ampang, Pandan Jaya dan Putra Heights.

Bas perantara percuma turut disediakan membabitkan laluan antara Stesen Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri, Pandan Jaya dan Cheras dengan kekerapan sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.- MalaysiaGazette