KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan seorang lelaki warga United Kingdom, yang dipercayai datang ke Malaysia secara bersendirian bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata laporan berhubung kehilangan pemuda yang dikenali sebagai Jordan Michael John Johnson-Doyle, berusia 25 tahun.
“Beliau dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu dan satu laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 2 Jun (semalam),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ku Mashariman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan tugas.
Sebelum ini, media Britain melaporkan bahawa Johnson-Doyle dilaporkan hilang selepas kali terakhir berhubung dengan keluarga pada 26 Mei lalu.
Mangsa turut dipercayai berada di sebuah premis hiburan di Bangsar pada malam Selasa lalu.
Ibunya, Leanne Burnett, memaklumkan bahawa telefon bimbit anaknya gagal dikesan menerusi aplikasi ‘Find My iPhone’ dan kali terakhir mencatatkan lokasi berhampiran kawasan kediaman di Bukit Bintang.
Laporan kehilangan sudah dibuat kepada pihak berkuasa di United Kingdom serta Konsulat British di Kuala Lumpur.
Difahamkan, bapa mangsa sudah tiba di ibu negara, manakala beberapa ahli keluarga lain dijangka menyusul bagi meneruskan pencarian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Polis Balai Pantai, Asisten Superintendan Khairul Nizam Ramle di talian 013-7000672 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Maklumat berkaitan kes juga boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

