,

Mencari puncak, bertemu tragedi

Kuala Lumpur: Angka menggusarkan apabila sebanyak 52 kes pendaki sesat direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan 114 pendaki.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kes ini meningkat hampir 30 peratus berbanding 40 kes membabitkan 88 mangsa dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, antara kes terbesar tahun ini ialah 10 mangsa yang tersesat di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada 9 Mei lalu serta tujuh mangsa di kawasan Kem Kasut Gunung Yong Belar, Gua Musang pada Februari lalu.

“Saya percaya peningkatan kes ini berkait rapat dengan pertambahan minat orang ramai terhadap aktiviti pendakian dan rekreasi luar, terutama di kawasan bukit dan hutan yang mudah diakses berhampiran bandar, sekali gus menarik penyertaan golongan baharu yang belum berpengalaman.

“Saya mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah aspek keselamatan, aspek persiapan fizikal dan pengetahuan asas amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk tersesat di dalam hutan.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 88 kes sesat membabitkan 193 mangsa dilaporkan dengan Selangor menjadi negeri paling banyak mencatatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki sesat,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Beliau berkata,  kawasan seperti Bukit Kiara, Bukit Gasing dan Bukit Sungai Besi mencatatkan jumlah kes yang tinggi.

“Di Pulau Pinang pula, kes dilaporkan setiap tahun di lokasi seperti Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Bukit Jambul, Batu Feringghi, Balik Pulau dan Teluk Bahang.

“Selangor menjadi negeri paling banyak mencatatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki sesat dengan kes tertumpu di kawasan pendakian popular sekitar Lembah Klang,” katanya.

Aktiviti pendakian ini juga terdedah dengan risiko luar kawalan seperti cuaca ekstrem, laluan yang tidak jelas, struktur pendakian curam dan pelbagai lagi aspek luaran lain.

Tragedi terbaharu berlaku minggu lalu membabitkan dua insiden serentak di dua lokasi berbeza.

Di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak, dua peserta ekspedisi ekstrem Trans Spencer Chapman disertai pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41 tahun, dan Jaslinda Saludin, 49 tahun, terpisah daripada kumpulan besar.

Mohd Hanafi mengalami kecemasan perubatan iaitu sesak nafas dan muntah darah di Kem Batu Kor sebelum berjaya dievakuasi menggunakan helikopter Unit Udara Bomba.

Jaslinda pula memilih meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak pada pukul 7.30 pagi, 24 Mei berkenaan dan itu adalah kali terakhir beliau dilihat.

Beliau sempat meninggalkan mesej ditulis di atas tanah di puncak kepada malim gunung yang berbunyi ‘Hafiz ambik gambar akak dah sampai’ berikutan telefon bimbitnya kehabisan bateri.

Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melepasi hari ketujuh semalam masih dipergiatkan menggunakan dron pengesan haba serta bantuan penjejak komuniti Orang Asli berikutan penemuan bungkusan barang dan botol air mangsa di jajaran Sungai Ayer Busok.

Pada tarikh sama, Nur Izzati Humaira Azizul, 19 tahun, turut menjadi mangsa di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor.

Semasa dalam perjalanan turun bersama keluarga, mangsa yang keletihan meminta kunci kereta ibunya untuk turun ke kawasan parkir terlebih dahulu pada jam 10.50 pagi.

Namun, apabila ibunya tiba di sana 45 minit kemudian, mangsa tidak kelihatan. Selepas tiga hari operasi SAR berskala besar, jasad mangsa ditemui pada 26 Mei di kawasan belukar sebuah kebun kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat dalam keadaan sempurna dan berpakaian lengkap.

Kes diklasifikasikan polis sebagai mati mengejut (SDR) akibat keletihan ekstrem atau strok haba, tanpa sebarang unsur jenayah.

Antara insiden babit pendaki direkod sejak 2022

• Pendaki, Tee Kok Soon, 55, dilaporkan pengsan selepas mendaki sejauh 300 meter dari kaki Gunung Pulai, Kulai, Johor. Mangsa dibawa turun menaiki kenderaan pacuan empat roda milik orang awam namun disahkan meninggal dunia (mati mengejut) di kaki gunung oleh pasukan perubatan.

• Pendaki, Haniff Harun, 47, terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Tanum berhampiran Gunung Tahan, Lipis akibat cuaca buruk. Jasad mangsa ditemui mati lemas dan tersangkut pada celahan batu kira-kira 300 meter dari lokasi awal dia terjatuh.

• Steven Tan Kim Huat, 45, dilaporkan hilang selepas mendaki Bukit Beruang, Melaka secara bersendirian pada jam 4.30 petang. Selepas operasi SAR rasmi dihentikan, jasad mangsa akhirnya ditemui pengamal paranormal pada 18 Mac 2023 jam 10.25 pagi di dalam anak sungai kecil berhampiran trek terbiar dan disahkan mati mengejut.

• Pendaki, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi waktu Nepal ketika menerima rawatan di Kem 4 Gunung Everest (ketinggian 8,000 meter) akibat terjatuh. Dalam ekspedisi sama, Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang pada 20 Mei 2023 selepas berjaya menawan puncak. Pihak ekspedisi kini (Mei 2026) sedang dalam proses memohon deklarasi kematian rasmi dari Kerajaan Nepal.

• Pendaki, Adi Putra Affendi, 16, disedari hilang pada jam 12.30 tengah hari akibat terpisah daripada kumpulannya di Bukit Broga, Semenyih. Selepas 19 jam operasi SAR, jasad mangsa ditemui maut dalam gaung sedalam 10 meter.

SUMBER : HARIAN METRO