Pakistan musnahkan impian skuad hoki B-18 negara

KUALA LUMPUR: Impian skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara untuk menamatkan kempen Piala Asia B-18 2026 di atas podium tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada Pakistan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menutup tirai kejohanan di kedudukan keempat, sekali gus gagal memenuhi sasaran untuk membawa pulang pingat selepas mara hingga ke separuh akhir.

Pakistan yang turut memburu penamat podium bermula garang apabila memperoleh gol seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Uzair Ahmad Qureshi.

Gol awal itu memberikan kelebihan psikologi kepada Pakistan, manakala skuad negara bergelut untuk mencari rentak dalam usaha memburu gol penyamaan.

Malaysia terus menerima tamparan apabila Pakistan dihadiahkan pukulan penalti strok pada minit ke-23 dan Haider Asam tidak mensia-siakan peluang untuk menggandakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.PlayNextMute

Tersentak dengan kedudukan 0-2, anak buah Mohd Harfizi Baharom cuba meningkatkan intensiti permainan pada babak kedua namun berdepan kesukaran menembusi benteng pertahanan Pakistan yang tampil lebih tersusun.

Beberapa percubaan yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan, sekali gus menyebabkan tekanan semakin memuncak ketika perlawanan menghampiri penghujung.

Sebaliknya, Pakistan menambah derita skuad negara apabila Adeel meledak gol ketiga menerusi gerakan padang pada minit ke-59 untuk mengesahkan kemenangan.

Keputusan itu pastinya mengecewakan kem negara yang sebelum ini meletakkan sasaran untuk menamatkan kejohanan sekurang-kurangnya di kedudukan tiga terbaik.