GENERAL SANTOS: Pasukan penyelamat di selatan Filipina mengeluarkan satu lagi mayat dari runtuhan sebuah pasar raya yang roboh hari ini, sekaligus meningkatkan jumlah angka korban gempa bumi kepada 46 orang.
Gegaran bermagnitud 7.8 yang berlaku di luar pesisir Mindanao pada Isnin lalu menyebabkan bangunan dan tanah runtuh serta amaran tsunami di beberapa kawasan di pulau selatan itu.
Joey Deluvio, 39, adalah salah seorang pekerja pasar raya di Bandar Raya General Santos yang menjadi tumpuan operasi mencari dan menyelamat, meskipun ancaman gegaran susulan masih berterusan.
Anggota penyelamat tempatan, Michelle Chua berkata peralatan pengesan mangsa sebelum ini mengesan denyutan nadi yang lemah ketika operasi dijalankan.
“Namun apabila mereka menemui mangsa, tiada lagi tanda-tanda mereka masih hidup,” katanya.
Chua berkata, mayat Deluvio ditemui tersepit di antara dua batang pasak bangunan.Agensi bencana kebangsaan menaikkan angka korban kepada 45 orang semalam, manakala jumlah individu yang masih hilang meningkat mendadak daripada empat kepada 17 orang.
Bagaimanapun, angka kematian itu belum termasuk Deluvio, menurut pengesahan Pejabat Pertahanan Awam.
Kebanyakan pertambahan korban dilaporkan di wilayah Davao Occidental, dengan majoriti mangsa maut akibat tanah runtuh atau bangunan yang runtuh, kata pegawai pertahanan awam, Rafaelito Alejandro, dalam satu temu bual radio.

