Mekanik maut tersepit semasa baiki forklift

MUAR – Seorang mekanik yang sedang membaiki trak angkat susun atau forklift yang rosak maut akibat tersepit dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Bakri di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan I Misholifadzil Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 9.32 Pagi.

Susulan itu seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mangsa iaitu seorang lelaki tempatan, Pui Wei Han berusia 37 tahun merupakan pemilik bengkel. Mangsa didapati tersepit di bahagian hadapan forklif semasa menjalankan kerja-kerja pembaikan forklif.

“Semasa kejadian mangsa datang seorang diri. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dengan bantuan foreman di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir sudah meninggal dunia.

Operasi tamat pukul 10.7 pagi- MalaysiaGazette