PLKN 2.0: 3,404 pelatih sertai kem, yang tak hadir beri alasan lanjut pengajian, masalah kesihatan

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijalankan di tiga kem latihan sejak tahun lalu, setakat ini sudah menerima 3,404 pelatih.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata 1,202 dilatih pada tahun lalu, disusuli 2,202 orang pada pertengahan tahun ini dan jumlah pelatih dijangka mencapai 4,200 orang sehingga penghujung 2026.

“Kita dalam usaha untuk melengkapkan sehingga sembilan lagi kem latihan dan kita jangka menjelang tahun depan, boleh melatih sehingga 9,200 anggota,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai calon pelatih tidak hadir, Adly memaklumkan, sebahagiannya terkait dengan masalah kesihatan, melanjutkan pengajian dan ada sebahagian lagi yang memang tidak hadir.

“Jadi, kita ada proses bagaimana kita pastikan bahawa kalau individu itu ada masalah kesihatan sementara, mungkin dia boleh mengikuti latihan seterusnya,” katanya.PlayNextMute

Kepada soalan asal Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang), beliau berkata, objektif dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi PLKN 3.0 secara keseluruhannya berjaya dicapai di semua kem latihan program itu.

“Enam indikator yang ditetapkan menunjukkan peningkatan positif selepas peserta mengikuti latihan. Berdasarkan kajian impak dilaksanakan sebelum dan selepas latihan dalam siri kedua program itu bagi 2026, indikator bagi patriotisme, contohnya meningkat kepada 88.98 peratus daripada 82 peratus.

“Bagi indikator perpaduan, ada peningkatan sembilan peratus, disiplin daripada 77.36 kepada 92.6 peratus yang menjadi antara peningkatan tertinggi, iaitu 15 peratus. Begitu juga ketahanan mental, daripada 71 peratus, meningkat kepada 83 peratus.

“Bagi pengetahuan ketenteraan, sebelum latihan memang agak rendah, iaitu 56 peratus dan kini meningkat kepada 84 peratus, peningkatan tertinggi 27 peratus, manakala kesukarelawan, daripada 75 kepada 83 peratus,” katanya.

Berhubung aspek kebolehpasaran kerja, Adly menjelaskan, secara dasarnya, PLKN bukan program latihan pekerjaan, sebaliknya memberikan tumpuan kepada pembentukan sahsiah, disiplin, jati diri dan semangat patriotisme.

Bagaimanapun, katanya, kementerian melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui lima pihak berkuasa melantik bersetuju memberi merit tambahan kepada bekas pelatih PLKN yang memberi syarat.

Lima pihak itu adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Majlis Angkatan Tentera, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Kementerian melalui JLKN bekerjasama dengan JPA, yang mana lima pihak berkuasa melantik bersetuju memberikan merit tambahan kepada bekas pelatih PLKN 3.0 yang memenuhi syarat dalam proses temu duga serta pengambilan ke perkhidmatan awam.

“Langkah ini diharap dapat memberikan nilai tambah kepada bekas pelatih, selain mengiktiraf disiplin, kepemimpinan dan jati diri yang dibentuk,” katanya.