`Saya tak mahu dikenang untuk apa-apa pun, kerusi ini hanya sementara’ – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR – “Saya sedar dan insaf, kerusi yang saya duduk ini semuanya sementara.” Itu luahan penuh emosi dan syahdu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai beban amanah serta tanggungjawab besar yang dipikulnya sepanjang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata, landasan politik yang dilaluinya ketika ini bukanlah medan untuk memahat nama mahupun mengejar glamor peribadi, sebaliknya ujian besar yang menuntut pengorbanan jiwa dan raga.

“Saya sebenarnya tidak mahu dikenang untuk apa-apa pun.

“Sebab saya buat semua ini bukan untuk legasi saya sendiri.

“Saya buat ini kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat berat.

“Sebagai seorang pemimpin yang beragama Islam, saya tahu jika fitnah itu dosa besar dan akhirnya nanti, di akhirat saya bukan sahaja kena menjawab dengan Tuhan, tetapi orang yang difitnah itu juga perlu memaafkan saya terlebih dahulu untuk saya selamat,” katanya dengan nada suara yang tersekat-sekat menerusi temu bual eksklusif bersama MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz mendedahkan prinsip hidupnya di atas kerusi nombor satu negeri itu didorong oleh rasa takut terhadap pembalasan hari akhirat sehingga beliau nekad untuk mengelak daripada terjebak dengan sebarang tindakan yang menyalahi hukum agama.

“Saya sebagai manusia biasa, saya nak cuba elak perkara-perkara itu.

“Saya tidak sanggup nak lakukan benda-benda yang haram yang akhirnya memaksa saya menjawab di hadapan Allah SWT nanti,” ujarnya.

Menerusi sesi temu bual tersebut juga Onn Hafiz turut menyingkap ketika pemergian bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra disapa Pak Lah.

“Ramai yang pergi ziarah Allahyarham. Ketika itu, saya ada terbaca komen-komen di Facebook di mana ramai rakyat yang menulis ‘Saya maafkan Pak Lah, saya ampunkan Pak Lah’.

“Rentasan kata-kata itu membuatkan saya terus berdoa, sekiranya tiba satu hari nanti waktu saya pula yang sudah tiada (meninggal dunia atau berundur), itulah juga ucapan dan apa yang akan dikatakan oleh seluruh Bangsa Johor kepada diri saya,” luahnya dalam nada yang cukup mendalam.

Cicit kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar ini juga mengakui statusnya sebagai manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan sepanjang memimpin.

Sambil meletakkan harapan yang tinggi agar keharmonian Bangsa Johor terus dipelihara, Onn Hafiz menitipkan doa buat rakyat yang amat dicintainya.

“Saya manusia biasa yang banyak kelemahan dan banyak kekurangan. Saya hanya mampu berdoa dan berharap, apabila tiba masanya nanti, seluruh rakyat Bangsa Johor dapat mengampunkan dan memaafkan diri saya,” katanya.

Sumber : MalaysiaGazette