PM hargai penjawat awam, seru tingkat keupayaan hadapi perubahan global

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penjawat awam atas komitmen serta dedikasi mereka dalam memastikan Malaysia terus mencatat kemajuan dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan yang diraih negara ketika ini, termasuk lonjakan 11 anak tangga sehingga meletakkan Malaysia sebagai ekonomi ke-15 paling berdaya saing dunia, dalam World Competitiveness Ranking 2026, tidak mungkin dicapai tanpa kecekapan perkhidmatan awam.

“Kejayaan ini bukan hasil usaha satu atau dua orang, tetapi hasil kerja seluruh pasukan penjawat awam yang berkhidmat di seluruh negara.

“Dalam siri lawatan ke Jepun, Rusia dan Turkmenistan baru-baru ini, saya melihat sendiri bagaimana keyakinan dunia terhadap Malaysia semakin meningkat.

“Pelbagai kerjasama strategik dalam sektor tenaga, pelaburan dan perdagangan berjaya dimeterai hasil kestabilan politik, kejelasan dasar serta keupayaan jentera kerajaan melaksanakan keputusan dengan cekap dan berkesan.

“Namun kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa. Dunia sedang berubah dengan pantas melalui kecerdasan buatan, ekonomi digital, teknologi baharu dan cabaran geopolitik yang semakin kompleks.

“Justeru seluruh pasukan penjawat awam mesti mempunyai ‘propensity to change’, yakni kesediaan untuk berubah, menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu dan terus meningkatkan keupayaan,” katanya di laman sosial Facebook.

Siang tadi beliau ke Alor Gajah, Melaka untuk bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan dalam sesi santai mesra yang menghimpunkan penjawat awam dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Beliau turut menegaskan semangat itqan fil amal atau melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin perlu terus diterapkan dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, budaya sambil lewa, birokrasi yang melambatkan urusan serta sikap menolak perubahan tidak boleh dibiarkan menghalang agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Anwar berkata, dengan idealisme yang kukuh, nilai yang benar, akhlak yang baik serta semangat berkhidmat yang tinggi, Malaysia mampu mencapai tahap yang lebih cemerlang demi masa depan generasi akan datang.

SUMBER : BULETIN TV3