KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yakin keputusan rayuan akhir pendakwaan esok terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan berpihak kepada anak guamnya itu.
Peguam senior itu ketika dihubungi BH, berkata beliau menzahirkan keyakinan itu kerana pendirian pihaknya selaku responden adalah berasaskan fakta dan undang-undang.
“Rayuan pihak pendakwaan sepatutnya ditolak. Tambahan pula, Mahkamah Rayuan sudah memberikan penghakiman yang sangat kukuh,” katanya.
Keputusan rayuan akhir pendakwaan akan diberikan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.


Pendakwaan rayu keputusan Mahkamah Rayuan
Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sabitan dan hukuman berkenaan adalah berhubung pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.

Keputusan akhir esok akan menentukan sama ada Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan kekal bebas jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan atau berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga boleh memberi kesan yang sangat besar terhadap kerjaya politik Syed Saddiq, kerana jika sabitan dikekalkan, beliau berkemungkinan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan sebagai calon pilihan raya di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan,
Menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah peruntukan sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.
Mahkamah Rayuan bebaskan Syed Saddiq
Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat membebaskan Syed Saddiq, selepas membenarkan rayuan wakil rakyat itu dengan mendapati pertuduhan bersubahat pecah amanah yang dihadapinya tidak berasas.
Keputusan itu dicapai panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Noorin ketika membacakan penghakiman, berkata pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan dari dana ARMADA.
Beliau berkata, dakwaan ketidakjujuran Syed Saddiq yang membawa kepada keuntungan secara salah (wrongful gain) kepadanya atau kerugian secara salah (wrongful lost) pada pihak ARMADA, tidak dapat dibuktikan.
Katanya, hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan ia membawa kepada kekhilafan ketika membuat keputusan mensabit dan menghukum Syed Saddiq, dan ia memerlukan campur tangan mahkamah.
Beliau berkata. pendakwaan gagal menunjukkan bukti yang bukan sahaja boleh dipercayai, malah cukup kuat dan mempunyai nilai pembuktian yang tinggi bagi menyokong tuduhan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
Katanya, tiada bukti yang menghubungkan kes pendakwaan bahawa wang RM120,000 yang dikeluarkan itu, milik ABBE atau Syed Saddiq, oleh yang demikian, tiada bukti beliau menyalahgunakan wang itu daripada akaun Maybank Islamic Bhd ABBE.
Panel itu turut mendapati, oleh kerana mahkamah tidak boleh bergantung kepada pertuduhan salah guna wang RM120,000, maka pertuduhan pengubahan wang haram juga tidak dapat dipertahankan.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan kerana bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan RM1 juta dana Armada.
Syed Saddiq turut dipenjara dua tahun dan satu sebatan kerana menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
Selain itu, beliau dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10 juta bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram, bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak.

