JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyasarkan pengurangan jumlah syarikat milik negara (SOE) daripada lebih 1,000 kepada sekitar 250 bagi mewujudkan sektor perusahaan milik kerajaan yang lebih cekap dan telus.
“Kita mahu lebih rasional dan cekap sekarang. Saya mahu proses ini diselesaikan tahun ini.
“Dalam tempoh dua tahun, kita merancang menjadikan syarikat milik negara lebih cekap, telus dan lebih berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Bengkel Kebangsaan Konvensyen Sains, Teknologi dan Industri Indonesia (KSTI) 2026 di sini, hari ini.
Prabowo berkata kerajaan ketika ini sedang melaksanakan proses pembersihan dan penstrukturan semula syarikat milik negara.
Katanya, daripada kira-kira 1,000 syarikat, lebih 200 sudah dikurangkan.
“Jumlah syarikat milik negara akan terus dikurangkan kepada sekitar 250. Ini bermakna lebih 750 syarikat akan ditutup sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula,” katanya.
Prabowo berkata jumlah syarikat milik negara terlalu banyak menyebabkan beban pentadbiran yang tinggi, membabitkan jawatan pengarah dan pesuruhjaya di setiap syarikat, sekali gus mengakibatkan banyak daripadanya gagal menjana keuntungan.
Katanya, keadaan itu tidak selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan pengurusan syarikat milik negara.
Beliau menggesa proses penstrukturan semula syarikat milik negara diselesaikan segera supaya perusahaan berkenaan menjadi lebih cekap, telus dan benar-benar berkhidmat demi kepentingan rakyat dalam tempoh dua tahun akan datang.
– AGENSI

