LOS ANGELES: Perancis akan mempertaruhkan barisan serangan berbisa mereka apabila menentang Sweden dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia, awal pagi esok.
Benteng pertahanan Sweden dijangka berdepan tugas sukar bukan sahaja untuk mengekang Kylian Mbappe yang sudah meledak empat gol dalam kejohanan ini, malah pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele yang menjaringkan hatrik ketika Perancis membelasah Norway 4-1 pada peringkat kumpulan.
Melengkapkan trio serangan Perancis ialah Michael Olise yang kerap mencetuskan huru-hara menerusi larian pantasnya melepasi pertahanan lawan.
Dengan kekuatan jentera serangan dan kreativiti di bahagian tengah, Les Bleus dilihat berada di landasan terbaik untuk mara ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Satu-satunya persoalan mungkin di bahagian pertahanan namun Sweden turut memiliki barisan penyerang berprofil tinggi yang akan cuba memecahkan benteng itu walaupun gandingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Alexander Isak dan Viktor Gyokeres masih belum menyerlah sepenuhnya dalam kejohanan ini.
Sekiranya Perancis berjaya menewaskan Sweden, mereka tidak akan bertemu Jerman yang tewas menerusi penentuan sepakan penalti buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia, hari ini, sebaliknya Paraguay yang mencipta kejutan.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata, Sweden tidak mempunyai apa-apa untuk dipertaruhkan.
“Sweden bermain demi kelangsungan mereka. Sudah tentu mereka akan melakukan apa sahaja untuk memenangi perlawanan ini,” kata Deschamps.
“Kami perlu terus merendah diri, mengekalkan keazaman dan fokus. Pada peringkat kumpulan, kemenangan dalam perlawanan pertama memberi kami sedikit ruang untuk melakukan kesilapan tetapi kini kami tidak mempunyai peluang kedua.”
Perancis hadir ke Piala Dunia sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi selepas muncul juara pada 2018 dan tewas menerusi penentuan penalti kepada Argentina pada final 2022.
Laluan Sweden ke Piala Dunia agak luar biasa apabila mereka menamatkan kempen kelayakan di tangga tercorot kumpulan namun diberi peluang ke ‘play-off’ hasil prestasi mereka dalam Liga Negara-Negara UEFA.
Mereka mara ke pusingan kalah mati di Amerika Utara walaupun dibelasah Belanda 1-5 selepas muncul antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik pada peringkat kumpulan.
Jurulatih Sweden, Graham Potter berkata pasukannya perlu menghasilkan sesuatu yang istimewa untuk menewaskan Perancis.
“Mereka memiliki kualiti di setiap posisi, pernah memenangi Piala Dunia dan mempunyai seorang pengurus yang hebat,” kata Potter.
“Satu cabaran yang cukup menarik menanti kami dan kami perlu mempamerkan aksi terbaik dalam hidup kami.” -AFP

