KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) struktur baharu yang menawarkan tempoh sah laku sehingga 10 tahun, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pengenalan PMA struktur baharu ini merupakan satu langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, di samping memberikan lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat Malaysia.
Bermula 1 Julai 2026, warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas akan mempunyai pilihan untuk memohon Pasport Malaysia Antarabangsa dengan tempoh sah laku sama ada lima tahun atau 10 tahun mengikut keperluan pemohon.
“Pengenalan pasport 10 tahun ini dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
“Kadar bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan sebanyak RM350 manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal pada harga RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri di Ruang Legar Dewan Rakyat, Parlimen.
Menurut KDN, pengenalan tempoh sah laku 10 tahun ini turut memberi penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon berbanding kos pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan dua kali bagi tempoh yang sama.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan keselamatan global yang semakin kompleks, PMA struktur baharu ini turut menampilkan 94 ciri keselamatan berbanding 49 ciri keselamatan PMA sedia ada.Ciri-ciri keselamatan ini merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik.
Antara teknologi keselamatan yang digunakan termasuk guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram serta cetakan ultraviolet (UV) yang direka bentuk bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.
“Pasport Malaysia kini terus berdiri sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia. Pengenalan PMA struktur baharu ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan dokumen perjalanan negara kekal selamat, moden, dipercayai dan setanding dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Jelas KDN, PMA struktur baharu ini meneruskan tradisi tersebut dengan mengintegrasikan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO), sekali gus memastikan pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang selamat dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
Selain aspek keselamatan, PMA struktur baharu turut mengetengahkan identiti nasional menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan.
“PMA versi baharu memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia menggantikan Bunga Raya sebagai ikon utama untuk PMA sedia ada. Ikon utama baharu ini diperkenalkan sebagai lambang keunikan biodiversiti dan khazanah alam semula jadi negara,” tambahnya.
Menurut KDN lagi, pelaksanaan PMA struktur baharu akan dilaksanakan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara mulai Julai 2026 bagi memastikan peralihan operasi berjalan dengan lancar.
Mesin pencetak generasi baharu yang digunakan berkeupayaan mencetak sehingga 60 pasport sejam bagi menyokong keperluan pengeluaran semasa yang mencecah purata 160,000 pasport sebulan.
Namun, orang ramai dinasihatkan untuk tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen tersebut masih sah laku.
“Pasport sedia ada masih sah digunakan sehingga enam bulan sebelum tamat tempoh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

