ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa memerah keringat sebelum melakar kemenangan menewaskan Sri Pahang FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan JDT selaku pendahulu liga apabila mengumpul 46 mata selepas melakar 15 kemenangan dan satu keputusan seri manakala Sri Pahang FC kekal di tangga sembilan dengan 15 mata,
Skuad Sri Pahang FC kendalian Fandi Ahmad yang turun selaku tuan rumah ternyata tidak mampu menghalang asakan bertubi-tubi barisan pemain Hector Bidoglio yang begitu rakus mengasak benteng skuad Tok Gajah.
JDT yang begitu bersungguh-sungguh memburu kemenangan tampak memberi amaran awal menerusi percubaan berbahaya Oscar Arribas seawal minit ketiga selepas menerima bolan hantaran Afiq Fazail.
Arribas terlepas peluang untuk merungkai jaringan ketika aksi memasuki minit ke-25 selepas menerima hantaran Juan Muniz namun ketangkasan penjaga gol skuad Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimhddin berjaya menepis bola.
Walaupun anak didik Bidoglio menguasai permainan dan sering mengancam kubu barisan pemain Fandi, namun mereka gagal menembusi kekebalan benteng Tok Gajah yang begitu berdisiplin menghalang gerakan berbahaya Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi dan memastikan kedudukan 0-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, usaha berterusan JDT memburu gol akhirnya membuahkan hasil berpunca daripada bola sepakan sudut Juan Muniz menyaksikan bola terkena belakang badan pemain pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin gagal diselamatkan Zarif Irfan untuk meletak JDT mendahului 1-0.
Selepas berdepan kesukaran untuk merobek gawang Tok Gajah, akhirnya Bergson menemui sentuhan penyudah pada minit ke-52 berpunca daripada bola lorongan Muniz membolehkan penjaring terbanyak liga ketika ini merembat kencang menewaskan Zarif Irfan.
Ketika JDT bergembira dengan dua jaringan yang terhasil, mereka tersentap dengan gol pantas pemain gantian David Rowley seminit kemudian selepas menanduk bola hasil sepakan lintang Mykola Ahapov yang menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bagi merapatkan jurang gol.
Memasuki minit akhir permainan, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) pengadil perlawananan Ahmad Zuhaidi Dzulkifli mengesan ada kekasaran terhadap Arif Aiman.
Bergson yang mengambil sepakan penalti mudah menewaskan Zarif Irfan bagi melengkapkan kemenangan JDT menewaskan Sri Pahang FC 3-1 untuk mengukuhkan kedududkan teratas liga elit domestik.