KUALA LUMPUR – Lima warden Penjara Taiping akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping esok atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap banduan pada Januari 2025 yang turut mengorbankan seorang tahanan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, pendakwaan itu dibuat selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut.
“Jumlah warden Penjara Taiping yang akan dituduh ialah lima orang membabitkan tiga orang mangsa yang mengalami kecederaan dan pertuduhan akan dibuat pada 3 Julai 2026 Jumaat, pukul 9 pagi, di Mahkamah Majistret Taiping, Perak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikembalikan pada 29 Jun lalu dengan arahan supaya lima warden berkenaan didakwa mengikut pelbagai peruntukan Kanun Keseksaan.
Pendakwaan itu, katanya melibatkan satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadap seorang warden kerana sengaja menyebabkan cedera, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara boleh sampai setahun, atau denda boleh sampai RM2,000, atau kedua-duanya.
Satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama terhadap dua orang warden penjara, iaitu dengan niat bersama sengaja menyebabkan cedera, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara boleh sampai setahun, atau dengan denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Manakala satu pertuduhan lain di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama terhadap dua orang warden penjara, iaitu dengan niat bersama sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.
Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Terdahulu, pada 19 Disember 2025, seorang warden telah dituduh di Mahkamah Majistret Taiping di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada membunuh, jika disabitkan kesalahan penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Kumar menasihatkan masyarakat agar tidak membuat
sebarang spekulasi atau memanipulasi fakta memandangkan prosedur pertuduhan dan perbicaraan Jenayah akan dimulakan demi menghormati prinsip Keadilan jenayah di negara ini.
Pada 25 Mei lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia menuntut tindakan disiplin segera terhadap pegawai Penjara Taiping yang terbabit dalam insiden keganasan tahun lalu, sambil menolak dakwaan bahawa tindakan sedemikian akan mencetuskan isu “double jeopardy”.
Suruhanjaya itu menegaskan dasar toleransi sifar dilaksanakan terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan. – MalaysiaGazette

