OSLO: Rakyat Norway membanjiri jalan raya di seluruh negara untuk meraikan kemenangan mengejut 2-1 ke atas Brazil pada Piala Dunia yang menyaksikan mereka mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.
Polis di ibu negara, Oslo memaklumkan lebih 90,000 orang memenuhi pusat bandar untuk meraikan kejayaan pasukan kebangsaan yang dipacu dua gol Erling Haaland.
Puluhan ribu lagi berhimpun di Stadium Ullevaal, gelanggang rasmi Norway, bagi menyaksikan perlawanan menerusi skrin gergasi sebelum melambung minuman ke udara sejurus wisel penamat dibunyikan.
Aksi sambutan ‘mendayung perahu’ yang menjadi simbol pasukan Norway dan Haaland turut dapat dilihat di tengah padang selepas perlawanan serta di jalan raya dan dataran di seluruh negara ketika rakyat meraikan antara kemenangan terbesar dalam sejarah sukan antarabangsa mereka.
“Saya berharap dapat berada di jalan raya bersama mereka. Saya berharap dapat turut serta dalam sambutan itu.

“Setiap orang perlu menikmati detik ini. Seluruh Norway perlu menikmatinya.
“Ia antara hari paling luar biasa dalam sejarah Norway. Nikmatilah kerana ini memang sesuatu yang luar biasa,” kata Haaland.
Ketika bunga api menerangi ruang udara di Stadium Ullevaal, penyokong mula melaungkan slogan “kami menuju ke istana”.
Apabila mereka tiba di Istana Diraja Norway, kumpulan penyokong itu disambut Putera Mahkota Haakon yang tampil dengan selendang pasukan bola sepak Norway di lehernya.
Norway kini akan berdepan pemenang perlawanan antara England dan Mexico pada suku akhir. – REUTERS

