SHAH ALAM – Penduduk Zon 21, Puncak Alam merayu campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mendakwa projek menaik taraf Jalan Meru-Bukit Cherakah yang berlarutan sejak 2019 masih gagal disiapkan sehingga menjejaskan keselamatan serta kehidupan harian ribuan penduduk.
Pengerusi Alam Sutera, Puncak Alam, Fazlifah Awang berkata, kelewatan projek itu menyebabkan kesesakan trafik luar biasa apabila perjalanan kira-kira dua kilometer boleh mengambil masa lebih sejam pada waktu puncak.
Menurutnya, keadaan jalan yang gelap, kekurangan lampu jalan, papan tanda serta kerja pembinaan yang belum siap turut mengakibatkan kemalangan maut dan kecederaan serius.
“Sudah ramai yang terlibat dalam kemalangan. Ada yang meninggal dunia, patah kaki dan patah tulang belakang. Tetapi sehingga hari ini kami tidak nampak sebarang tindakan yang benar-benar menyelesaikan masalah,” katanya kepada media, hari ini.
Fazlifah ditemui media selepas menyerahkan memorandum berhubung jalan itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di pintu Istana Kayangan, hari ini.
Beliau berkata, lebih 22,000 penduduk di Zon 21 Puncak Alam yang merangkumi 16 taman perumahan terjejas, selain keseluruhan penduduk kawasan itu yang dianggarkan mencecah hampir 300,000 orang.
Menurutnya, keadaan jalan yang gelap, kekurangan lampu jalan, papan tanda serta kerja pembinaan yang belum siap turut mengakibatkan kemalangan maut dan kecederaan serius.
“Sudah ramai yang terlibat dalam kemalangan. Ada yang meninggal dunia, patah kaki dan patah tulang belakang. Tetapi sehingga hari ini kami tidak nampak sebarang tindakan yang benar-benar menyelesaikan masalah,” katanya kepada media, hari ini.
Fazlifah ditemui media selepas menyerahkan memorandum berhubung jalan itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di pintu Istana Kayangan, hari ini.

Katanya, kelewatan projek itu turut meningkatkan kos sara hidup penduduk apabila van sekolah mengenakan caj lebih tinggi kerana terpaksa membuat pusingan jauh, selain menyukarkan pergerakan kenderaan kecemasan termasuk bomba.
“Dulu caj van sekolah sekitar RM120, sekarang naik kepada RM200 kerana mereka terpaksa berpusing jauh. Kalau satu keluarga ada tiga anak, kosnya mencecah RM600 sebulan.
“Kami juga berdepan kerosakan tayar, rim dan kenderaan akibat keadaan jalan yang tidak sempurna,” katanya.
Fazlifah mendakwa walaupun beberapa projek perumahan dan komersial di kawasan berkenaan telah siap serta diserahkan kepada pembeli, projek jalan utama itu masih jauh daripada siap.
Malah, beliau menganggarkan kemajuan keseluruhan projek ketika ini hanya sekitar 30 peratus dengan kerja pembinaan jambatan serta infrastruktur utama masih belum diselesaikan.
Sehubungan itu, beliau berharap campur tangan Sultan Selangor dapat memberi perhatian terhadap masalah berkenaan, sekali gus memastikan semua pihak berkaitan mempercepatkan penyiapan projek yang sekian lama tertangguh.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, memorandum kepada Sultan Selangor disifatkan sebagai usaha terakhir selepas pelbagai saluran rasmi termasuk aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat daerah dan agensi berkaitan gagal menghasilkan penyelesaian.
“Dah lebih tujuh tahun, tetapi jalan ini masih belum siap. Kami sudah buat pelbagai aduan kepada JKR, pejabat daerah, SISPAA dan pihak berkaitan, namun tiada penyelesaian.
“Jadi kami merasakan sudah tiba masanya membawa suara rakyat kepada Sultan Selangor sebagai saluran terakhir. Kami berharap Tuanku dapat melihat sendiri keadaan jalan ini dan membantu mempercepatkan penyelesaiannya,” katanya.
Mohd Shaid mendakwa projek yang melibatkan kerjasama pemaju LBS dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) itu sebelum ini dijanjikan siap pada 2022 selepas satu mesyuarat bersama JKR pada penghujung 2020, namun sehingga kini masih belum menunjukkan kemajuan yang memuaskan. – MalaysiaGazette

