LOS ANGELES: Bintang sensasi Brazil, Neymar, sempat terbabit dalam satu aksi ‘perang mulut’ bersama penjaga gol Norway, Ørjan Nyland, sebelum menyempurnakan sepakan penalti ketika pasukannya tunduk 2-1 dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia.
Insiden dramatik itu bagaimanapun gagal menyelamatkan juara dunia lima kali itu daripada tersingkir awal secara mengejut, sekali gus meranapkan impian gergasi Amerika Selatan berkenaan untuk menjulang trofi keenam mereka.
Detik tegang itu bermula sejurus sebelum Neymar mengambil sepakan penalti pada masa kecederaan.
Nyland yang sebelum itu muncul wira selepas menyelamatkan penalti Bruno Guimarães pada awal permainan cuba melakukan provokasi dan permainan psikologi bagi mengganggu fokus bintang Brazil terbabit.
Bagaimanapun, Neymar tidak mudah melatah.PlayNextMute
Menurut laporan media sukan DAZN, bekas penggempur Barcelona itu sebaliknya membalas provokasi berkenaan dengan bertanyakan satu soalan sinis kepada Nyland berulang kali:
“Kau nak bola ni masuk di mana?”
Neymar akhirnya memenangi ‘pertempuran peribadi’ terbabit apabila berjaya menyumbat gol sagu hati buat Brazil, namun jaringan itu sudah terlewat untuk mengubah keputusan perlawanan.
Sebelum penalti terbabit, penyerang prolifik Norway, Erling Haaland sudah pun meledak dua gol pada lewat permainan untuk meletakkan pasukannya selesa di hadapan.
Dua jaringan Haaland itu memastikan kemenangan bersejarah 2-1 buat Norway, sekali gus membawa negara Scandinavia berkenaan melangkah ke peringkat suku akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah bola sepak lelaki mereka.
Bagi Brazil, kekalahan memalukan kepada pasukan bukan pilihan itu bukan sahaja menamatkan kempen mereka, malah dianggap sebagai pengakhiran kepada satu era kegemilangan bola sepak negara terbabit.

