Kuala Lumpur: Sebanyak 930 pempamer daripada 36 negara akan mengambil bahagian dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA ’27) pada April tahun depan, pertambahan 15 peratus pempamer, berbanding edisi sebelumnya.
Edisi LIMA ke-18 dengan tema ‘Visi Mampan Merentasi Laut, Udara dan Angkasa’ itu juga dijangka menarik 450 delegasi antarabangsa dari 65 negara, 60,000 pelawat perdagangan dan 400,000 pengunjung awam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata LIMA ’27 akan mempamerkan sehingga 110 pesawat dan aset udara serta kira-kira 90 kapal tentera laut serta aset maritim.
Beliau berkata, LIMA kini bukan lagi sekadar pameran, malah berkembang menjadi platform strategik yang memperkukuh diplomasi pertahanan antarabangsa, mempercepat inovasi teknologi, menggalakkan kerjasama industri dan mewujudkan peluang ekonomi yang signifikan kepada Malaysia serta rakan antarabangsa.
“Kejayaan cemerlang LIMA ’25 mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai tuan rumah yang diyakini bagi salah satu pameran pertahanan, maritim dan aeroangkasa terkemuka dunia.
“Pencapaian awal ini membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara dan mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai platform pilihan bagi diplomasi pertahanan, kerjasama teknologi serta jaringan perniagaan strategik di rantau Asia Pasifik, ” katanya.
Ucapan beliau dibacakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, juga selaku pengerusi bersama pameran LIMA’ 27.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, LIMA ’27 memberi penekanan kepada lapan segmen strategik, selaras keutamaan pertahanan negara, iaitu Teknologi Pembangunan Kapal Autonomi dan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), Teknologi Aeronautik dan Instrumentasi, Keselamatan Siber dan Kecerdasan Buatan (AI) serta Sistem Persenjataan Termaju dan Teknologi Amunisi.
Selain itu, Keselamatan Infrastruktur Kritikal dan Sistem Pertahanan, Komunikasi Satelit dan Sistem Pertahanan, Sistem Kenderaan Darat bagi Pangkalan Tentera Udara dan Laut serta Sistem Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (HADR).
“Segmen utama ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam membangunkan keupayaan pertahanan masa hadapan dan memperkukuh keupayaan berdikari melalui inovasi, pembangunan industri tempatan, kecemerlangan teknologi serta kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh,” katanya.
Medium kerjasama strategik
Sementara itu, pada sidang medianya, Malek Razak berkata, penganjuran itu merupakan program dwi-tahunan oleh Kementerian Pertahanan sejajar dengan usaha mencapai Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Strategik Pertahanan Negara.
Ia merangkumi semua aspek berkaitan kesiapsiagaan dan hala tuju Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kementerian bagi mempertingkat dasar industri pertahanan.
“LIMA adalah platform yang sejajar dengan rancangan strategik yang diaturkan, disusun kementerian dan ATM, menuju Future Force yang bermula lima tahun lalu, dengan rangka kerja pembangunan reka bentuk.
“Ketika ini, kita sudah pun masuk kepada fasa pembangunan dan masih lagi ada sebahagian reka bentuk itu untuk dirangkumkan bersama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu bermula pada tahun ini hingga 2030,” katanya.
Pada sidang media sama, Lokman Hakim berkata, LIMA’ 27 akan memberi peluang kepada orang ramai melihat beberapa aset baharu yang diperoleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, ia membabitkan pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) dari Korea Selatan, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA-S Medium Altitude Long Endurance (MALE) serta Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan dipamerkan kepada orang ramai buat kali pertama.
Lokman Hakim berkata, penganjuran LIMA ’27 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap aspek pelaksanaan bidang pertahanan, khususnya piawaian antarabangsa, keselamatan, tadbir urus, integriti, pengurusan acara, pengalaman peserta dan keberkesanan dalam melaksanakan acara berprestij itu.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Mohd Nizam Mohd Khir, berkata LIMA ’27 akan menjadi medium kerjasama strategik antara syarikat luar negara dan tempatan dalam meneroka teknologi baharu industri pertahanan.

