Jururawat di India didakwa bunuh suami dengan suntikan cecair pencuci tandas

NIZAMABAD: Seorang jururawat berusia 32 tahun di India ditahan selepas didakwa membunuh suaminya dengan menyuntik cecair pencuci tandas yang dicampur ubat tidur ke dalam saluran darahnya melalui kanula.

Kejadian berlaku di sebuah bandar di negeri Telangana ketika suaminya, Dayini Prashanth, 35, masih menerima rawatan selepas terselamat daripada cubaan bunuh sebelum ini, lapor agensi berita Indo-Asian News Service (IANS).

Suspek dikenali sebagai Sandhya dan bekerja di sebuah hospital swasta. Dia didakwa menyuntik campuran cecair pencuci tandas dan ubat tidur yang dihancurkan melalui tiub intravena (IV) yang disambungkan kepada suaminya pada 30 Jun lalu.

Menurut polis, tindakan itu dipercayai dilakukan kerana Sandhya mahu meneruskan hubungan sulit dengan seorang lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Anil.

Siasatan dijalankan selepas ibu mangsa membuat laporan polis kerana menyuarakan rasa curiga terhadap punca kematian anaknya.

Prashanth sebelum ini bekerja di negara Teluk selama dua tahun sebelum pulang ke India pada 27 Jun lalu.

Polis berkata, Sandhya menganggap suaminya sebagai penghalang kepada hubungannya dengan Anil.

Dia kemudian didakwa merancang pembunuhan itu bersama Anil dan seorang rakannya.

Hasil siasatan mendapati Sandhya sebelum itu turut terbabit dalam cubaan membunuh suaminya dengan menolaknya dari atas bumbung bangunan, namun gagal.

Polis berkata, rakan Anil datang ke rumah Prashanth pada 29 Jun lalu dan memberinya minuman keras dalam jumlah banyak sebelum membawa mangsa ke atas bumbung bangunan.

Mangsa kemudian ditolak dari bumbung mengikut rancangan mereka, namun dia terselamat walaupun mengalami kecederaan parah.

Sandhya kemudiannya memberitahu suaminya bahawa kejadian itu berlaku kerana dia terjatuh ketika mabuk dan membawa mangsa ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa kemudian dipindahkan ke hospital swasta sebelum dibawa pulang ke rumah.

Sebagai sebahagian daripada rancangan mereka, Sandhya didakwa menyuntik campuran beracun cecair pencuci tandas dan ubat tidur yang dihancurkan ke dalam tubuh suaminya sebelum menolaknya dari katil, menyebabkan kematiannya.