KUALA LUMPUR: “Kepada rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia , jangan hanya doakan saya. Doakan Malaysia kekal di mana undang-undang melindungi semua kawan atau pun lawan, yang berkuasa atau rakyat biasa.”
Itulah luahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijadual menantikan keputusan Mahkamah Persekutuan esok, sama ada beliau kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara atas empat pertuduhan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT kerana sudah berusaha sebaik mungkin.
Beliau menegaskan luahan ini bukan untuk meraih simpati tetapi mahu menyatakan kebenaran berhubung apa yang tersirat dan disurat dibenak fikirannya ketika ini.
“Malam ini saya tidak meminta simpati, saya mahu bercakap tentang siapa kita walaupun diuji. Lebih enam tahun saya melalui proses ini. Saya hadir setiap kali dipanggil, tiada penangguhan daripada saya, tiada jalan pintas dan tiada layanan istimewa.
“Saya memilih mahkamah kerana di negara ini yang kita cintai ini, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang bukan kuasa.
“Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara 3-0 membebas dan melepaskan saya. Esok Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusan muktamad.
“Saya tidak akan mendahului mahkamah. Saya menghormati prosesnya dan saya akan hadir dengan tenang,” katanya dalam video dimuatnaik menerusi akaun Facebook miliknya malam ini.
Syed Saddiq percaya sebagai manusia tidak terlepas daripada diuji sambil menegaskan tidak akan sesekali berdendam dengan sesiapa.
“Kepimpinan tidak akan diuji ketika semuanya mudah. Ia diuji ketika masa depan dan kebebasan kita dipertaruhkan. Namun kita masih memilih jalan yang benar bukan dendam.
“Saya sudah berusaha selebihnya. Saya serahkan kepada Allah. Kebenaran tidak memerlukan kuasa untuk berdiri. Kepada Allah saya berserah,” katanya.
Esok Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan akhir berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq selepas keputusan kes ditangguhkan pada 30 Jun lalu, apabila seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.
Ia sekali gus bakal memuktamadkan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA).
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq pada jam 9 pagi.
Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Beliau juga dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

