Peningkatan insiden keganasan di sekolah, termasuk kes pelajar mencederakan atau membunuh rakan sendiri, menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan mental remaja. Kejadian yang sebelum ini lebih banyak dilaporkan di luar negara kini turut berlaku di Malaysia, sekali gus mengundang persoalan mengenai faktor yang mendorong pelajar bertindak di luar kawalan.
Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Maruzairi Husain, berkata memang terdapat peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Ia dibuktikan dengan tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) menunjukkan kadar kemurungan dalam kalangan remaja meningkat lebih dua kali ganda daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.
“Sekolah hari ini juga semakin sesak dengan pertambahan murid dan menyukarkan guru mengenal pasti pelajar yang berisiko mengalami masalah kesihatan mental.
“Beban tugas guru yang semakin meningkat turut mengehadkan peluang untuk membina hubungan yang rapat dengan pelajar.
“Kekurangan interaksi yang bermakna ini menyukarkan guru mengesan lebih awal pelajar yang memerlukan sokongan atau bantuan psikologi.
“Pada masa sama, sekolah yang kurang menitikberatkan kesejahteraan psikologi warga sekolah, selain mempunyai hubungan guru dan pelajar yang lemah serta gagal melaksanakan intervensi awal berisiko lebih tinggi berdepan insiden tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar,” katanya.
Tambahnya, tindakan agresif pelajar sehingga sanggup mencederakan guru atau rakan di sekolah lazimnya berpunca daripada gabungan beberapa faktor.
Antaranya ialah kelemahan dalam pengawalan emosi sehingga pelajar bertindak secara impulsif tanpa memikirkan kesan atau akibat perbuatan mereka.
“Dalam hal ini, kekurangan kemahiran menyelesaikan konflik atau masalah menyebabkan seseorang lebih cenderung bertindak balas terhadap tekanan atau perselisihan melalui kekerasan berbanding menggunakan pendekatan yang lebih rasional dan terkawal,” katanya.
Katanya, selain itu, masalah kesihatan mental dan perkembangan juga boleh menjadi penyumbang kepada tingkah laku agresif.
“Ada individu yang mungkin mengalami gangguan psikosis, kemurungan, kebimbangan atau masalah perkembangan seperti Gangguan Kurang Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) serta autisme yang tidak dikenal pasti atau tidak menerima rawatan sewajarnya.
“Walau bagaimanapun, tidak semua individu yang mengalami masalah berkenaan bersikap ganas,” katanya.
Jelasnya, pendedahan berlebihan kepada kandungan berunsur keganasan di media sosial atau permainan video juga boleh menyebabkan remaja mudah meniru perlakuan berkenaan dalam kehidupan sebenar.
Tambah beliau, media sosial mempunyai pelbagai manfaat sebagai medium pembelajaran, sokongan sosial dan perkongsian maklumat.
“Namun, penggunaan yang berlebihan atau tanpa kawalan boleh mendedahkan pelajar kepada perbandingan sosial yang tidak sihat, sekali gus mewujudkan tekanan untuk memenuhi jangkaan masyarakat.
“Di samping itu, buli siber serta pendedahan kepada kandungan negatif boleh menjejaskan harga diri, meningkatkan tahap kebimbangan dan mengganggu kesejahteraan emosi remaja,” katanya.
Tambahnya, intervensi awal bagi mencegah insiden keganasan dalam kalangan pelajar perlu dilaksanakan secara menyeluruh di rumah dan di sekolah kerana remaja menghabiskan sebahagian besar masa mereka di kedua-dua persekitaran itu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Siti Rahaimah Ali berkata, masalah kesihatan mental pelajar bukan sahaja menjejaskan individu, malah memberi kesan kepada seluruh komuniti sekolah dengan mewujudkan suasana yang tidak selamat serta menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, pelajar yang mengalami gangguan emosi berpanjangan berisiko hilang fokus, pencapaian akademik merosot, ponteng sekolah dan terbabit dalam masalah disiplin.
“Bagi menanganinya, sekolah perlu mengutamakan pengesanan dan intervensi awal, bukan hanya pendekatan hukuman.
“Justeru, Unit Bimbingan dan Kaunseling perlu diperkasakan sebagai barisan hadapan mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan, manakala kes berisiko tinggi harus dirujuk segera kepada ahli psikologi klinikal atau pakar psikiatri.
“Selain itu, saringan kesihatan mental secara berkala serta pembabitan aktif ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru, perlu dipertingkat bagi meningkatkan literasi kesihatan mental dan kemahiran keibubapaan,” katanya.
Tegasnya, semua pihak berkepentingan harus mengambil perhatian terhadap insiden keganasan di sekolah kerana kesihatan mental ini bukanlah isu sekunder, tetapi elemen penting dalam pendidikan berkualiti dan pembangunan modal insan yang mampan.
“Sekolah yang selamat dan menyokong dapat dicapai melalui kerjasama erat antara sekolah, keluarga, komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta masyarakat secara keseluruhan.
“Jika kita berjaya membentuk generasi yang berdaya tahan emosi, berakhlak mulia dan mampu menghadapi cabaran hidup dengan bijaksana, penuh belas ihsan serta harapan menerusi intervensi awal berasaskan bukti, disokong oleh institusi keluarga yang kukuh dan nilai kerohanian yang positif, impaknya terhadap masa depan negara sudah pasti amat besar.
“Yang paling penting, negara perlu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah sihat dari segi mental, mempunyai sahsiah terpuji, berdaya tahan emosi serta memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

