Sorak bola, tinggal sampah di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Kemeriahan ribuan penyokong yang membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina, awal pagi tadi, bertukar menjadi kekecewaan apabila kawasan ikonik itu dipenuhi sampah sarap sebaik perlawanan berakhir.

Orang ramai hadir untuk bersorak, meraikan pesta bola sepak dan berkongsi kegembiraan menyaksikan perlawanan final itu, namun meninggalkan padang bersejarah berkenaan dalam keadaan kotor dengan pelbagai jenis sisa.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan bagi mengutip sampah yang ditinggalkan di kawasan berkenaan.

Menurut DBKL, kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung kepada pihak lain untuk membersihkan kawasan awam selepas orang ramai pulang.

“Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara, manakala cara orang ramai meninggalkan kawasan itu mencerminkan tahap penghargaan terhadapnya,” katanya.

DBKL berkata, orang ramai boleh meraikan sesuatu acara dengan penuh semangat dan bersorak sepuasnya, namun kebebasan untuk bergembira tidak bermaksud mereka bebas mengotorkan ruang milik bersama.

Katanya, sesebuah bandar raya yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai hadir memeriahkan sesuatu acara, sebaliknya melalui keadaan yang ditinggalkan selepas mereka bersurai.

“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” katanya.