KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program pemerkasaan dan pembangunan komuniti SE-Budi Hasanah di Pulau Tuba memberi impak positif dalam memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris serta membina daya tahan dan kepimpinan pelajar.
Sejak Mei tahun lalu, lebih 200 pelajar di Pulau Tuba, Langkawi mendapat manfaat sekali gus memberi peluang kepada golongan belia di luar bandar membina keyakinan serta kemahiran menerusi pengalaman sebenar dalam komuniti.
Inisiatif itu turut memberi manfaat secara tidak langsung kepada kira-kira 4,500 penduduk menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk Mini Community Day, SE-Budi Canvas: A Vision for Pulau Tuba 2050 dan SE-Budi Raya Hasanah.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata pelaksanaan program berkenaan membuktikan institusi pengajian tinggi dan rakan strategik mampu memainkan peranan penting dalam memperkasa pendidikan serta pembangunan sosioekonomi komuniti luar bandar secara bersepadu.
Katanya, program itu pada awalnya diperkenalkan sebagai inisiatif Pembelajaran Bahasa Berasaskan Komuniti atau Community-Based Language Learning (CBLL) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi, Pulau Tuba.PauseNextMute
“Ia dibangunkan khusus bagi membantu pelajar menguasai Bahasa Inggeris dengan fokus kepada perkembangan holistik peserta dalam memenuhi keperluan iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI).
“Melalui pendekatan CBLL, penguasaan Bahasa Inggeris tidak dilihat hanya untuk memenuhi tuntutan peperiksaan, sebaliknya menjadi kemahiran yang membolehkan pelajar menyampaikan idea, berkomunikasi dengan yakin terutama ketika berderpan dengan pelancong di Pulau Tuba seterusnya dapat membangunkan projek sosioekonomi dan membentangkan penyelesaian,” katanya dalam ucapan sempena SE-Budi Hasanah Language and Resilience Bootcamp 2026.
Katanya, melalui inisiatif yang diperkenalkan itu, bahasa Inggeris tidak hanya dilihat sebagai mata pelajaran peperiksaan semata-mata tetapi menjadi alat praktikal membantu mengembangkan potensi pelajar sekali gus membuktikan bahawa isu geografi bukan satu penghalang untuk mereka memajukan diri walau berada di luar bandar.
Pelaksanaan program berkenaan turut mendapat sokongan dan tajaan Yayasan Hasanah serta pelbagai pihak berkepentingan yang komited dalam usaha memajukan komuniti Pulau Tuba.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, berkata SE-Budi Hasanah memberi tiga impak utama sejak dilaksanakan tahun lalu, iaitu pengukuhan kerjasama antara universiti, sekolah dan komuniti serta pelajar dalam menerapkan penerapan pembelajaran bahasa melalui pengalaman sebenar dalam komuniti.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pelajar bukan sahaja belajar di dalam bilik darjah, malah berinteraksi dengan masyarakat, memahami keperluan setempat dan mengemukakan idea untuk pembangunan masa depan Pulau Tuba.
“Semua pencapaian ini menunjukkan bahawa inisiatif ini dapat membina keyakinan, memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti serta melahirkan generasi muda yang bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat mereka,” katanya.
SE-Budi Hasanah bermula menerusi Geran Khas Hasanah berjumlah RM361,000 yang disalurkan melalui UUM Leads Sdn Bhd bagi memperkenalkan kerangka CBLL di SMK Langkawi, Pulau Tuba.
Program itu dirangka bagi menangani keterbatasan akses kepada pendidikan, pendedahan industri, peluang pembelajaran bahasa dan rangkaian profesional yang dihadapi golongan muda di kawasan berkenaan.
Selain pembangunan bahasa Inggeris, program berkenaan turut merangkumi pembangunan daya tahan dan sahsiah, kepimpinan dan kerja berpasukan, penglibatan komuniti, keusahawanan sosial serta pendedahan vokasional.
Elemen projek komuniti dan pembentangan idea turut diberi penekanan bagi membolehkan peserta mengenal pasti keperluan masyarakat, membangunkan idea, merancang projek dan mencari penyelesaian terhadap isu yang dikenal pasti.
Peserta program, Nurul Nazifa Mohd Hafiz, 16, berkata komitmen tinggi ditunjukkan tenaga pengajar dan mentor menjadi antara faktor yang mendorong peserta menguasai setiap modul dengan baik.
“Modul pembelajaran merangkumi elemen alam sekitar, budaya, keusahawanan sosial dan pembinaan jati diri yang membuka ruang kepada peserta menggunakan Bahasa Inggeris secara semula jadi menggunakan situasi sebenar dan tidak terhad dalam bilik darjah semata-mata,” katanya.
Seorang lagi peserta, Muhammad Iqbal Danish Khairulnizam, 15, berkata program berkenaan meningkatkan keyakinannya untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian.
“Pulau Tuba adalah salah satu destinasi bagi pelancong asing dan dengan menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik dapat membantu saya memperkenalkan pulau ini dengan lebih berkesan menggunakan media sosial,” katanya.

