Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu akhirnya berjaya ditemui di sekitar Central Market atau Pasar Seni, Kuala Lumpur, malam tadi.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook awal pagi hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua pelajar terbabit, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, ditemukan oleh pihak polis sekitar pukul 10.31 malam.
“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi (semalam),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, kehilangan dua pelajar MRSM Alor Gajah, Melaka itu mendapat perhatian selepas Asyraf Wajdi meminta orang ramai mendoakan supaya mereka dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
Penemuan dua pelajar MRSM Alor Gajah itu sekali gus menamatkan kebimbangan susulan laporan kehilangan mereka sejak beberapa hari lalu.

