SERDANG: Bermula sebagai pemain badminton ketika di bangku sekolah rendah, Chai Kai Le tidak pernah menyangka keputusan mencuba acara rejam lembing pada usia 12 tahun bakal membawanya bergelar juara Sukan Malaysia (SUKMA) dan pemegang rekod kejohanan.
Pada usia 18 tahun, atlet Johor itu mencipta sensasi pada penampilan sulungnya di SUKMA Selangor 2026 apabila melakukan rejaman sejauh 64.44 meter (m) untuk merangkul emas acara rejam lembing lelaki, sekali gus memadam rekod kejohanan 62.33m yang berusia 26 tahun.
Rekod itu sebelum ini milik atlet Sarawak, Kho Mei Kuan yang melakukannya pada SUKMA 2000 di Pulau Pinang.
“Saya bermula dengan rejam lembing sejak darjah enam. Dulu saya main badminton, tetapi cikgu nampak tangan saya laju ketika melakukan ‘release’, jadi dia suruh saya cuba rejam lembing.
“Selepas itu saya tengok atlet senior melakukan balingan jauh dan saya terfikir, satu hari nanti saya mahu jadi seperti mereka,” katanya ketika ditemui.PauseNextMute
Kai Le mengakui kejayaan itu bukan sesuatu yang datang dengan mudah kerana dia sudah membuat persiapan selama dua tahun untuk SUKMA, malah memang menyasarkan rekod kejohanan berkenaan.
“Saya memang datang untuk pecahkan rekod ini. Saya sudah bersedia untuk SUKMA selama dua tahun, jadi memang puas hati dan gembira,” katanya.
Lebih menarik, catatan 64.44m itu dilakukan ketika Kai Le belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang, bahu kanan dan siku yang dialaminya sejak aksi di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSM) tahun lalu.
Selepas melakukan rejaman kedua, dia mula berasa sakit pada bahagian pinggang dan memilih untuk tidak terlalu memaksa dalam percubaan berikutnya.
“Selepas lontaran kedua, pinggang saya sakit sedikit. Jadi saya tidak boleh terlalu memaksa dan perlu bermain selamat untuk elak kecederaan lebih serius,” katanya.
Pingat perak dimenangi atlet Pulau Pinang, Tan Chun Wei menerusi catatan 60.43m, manakala seorang lagi wakil Johor, Mohd Noor Iman Norman meraih gangsa dengan 59.04m.
Kai Le kini mengalihkan fokus kepada sasaran lebih besar, iaitu melakukan rejaman 70m tahun depan bagi memburu peluang mewakili negara ke Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Catatan peribadi terbaiknya ketika ini ialah 65.65m yang dilakukan pada Terbuka Jawa Central di Indonesia, bulan lalu.
“Saya yakin boleh buat 70m. Dalam perancangan jurulatih memang sasaran saya 70m tahun depan,” katanya.
Untuk merealisasikan sasaran itu, Kai Le dijangka menjalani latihan pusat di Jepun pada awal tahun depan sebelum menyertai kejohanan di negara berkenaan.
Di sebalik pencapaiannya, Kai Le turut mengakui kejayaan itu tidak terlepas daripada pengorbanan bapanya yang sentiasa memberikan sokongan, termasuk membiayai rawatan kecederaan dan membeli kelengkapan sukan.
“Setiap kali saya cedera, ayah akan beri duit untuk saya mendapatkan rawatan. Kalau kasut rosak, dia akan belikan.
“Dia tidak menjangka saya boleh buat macam ini. Dia cuma mahu saya sihat,” katanya.

