GEORGETOWN: Pemandu kenderaan dinasihatkan supaya berwaspada selepas tindakan seorang lelaki yang sengaja masuk ke jalan dipercayai cuba dilanggar kenderaan di kawasan berhampiran Hospital Lam Wah Ee, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong, berkata beliau menerima video yang tular menunjukkan individu berkenaan dipercayai cuba meletakkan dirinya di laluan kenderaan berhampiran jejambat di hadapan hospital itu.
Perbuatan berkenaan dipercayai bertujuan mendapatkan pampasan dengan mendakwa dirinya dilanggar kenderaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa taktik sedemikian sekiranya berdepan situasi sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ong berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Balai Polis Jelutong dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk kemalangan.
“Saya menasihatkan pemandu yang berdepan situasi seperti ini supaya tidak bersemuka dengan individu berkenaan atau mengambil risiko yang tidak perlu, sebaliknya mengutamakan keselamatan dan melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya.
Beliau berkata, polis memaklumkan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.
“Saya berterima kasih kepada polis atas tindakan pantas dan berjaya menahan suspek,” katanya.
New Straits Times sudah menghubungi polis daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

