AMPANG JAYA: “Macam ombak besar tiba-tiba datang.”
Itu gambaran seorang penduduk di Jalan Kolam Air Lama di sini, susulan banjir kilat semalam yang menyaksikan air naik hingga paras pinggang dalam tempoh kurang dua minit.
Kejadian itu turut menyebabkan 12 unit kediaman di Lorong Kolam Ayer Lama A dinaiki air, mengakibatkan kerosakan harta benda dengan seorang penduduk menganggarkan kerugian melebihi RM100,000.
Thiyaga Rajan Shanmugam berkata, hujan lebat bermula kira-kira jam 3.30 petang sebelum air naik mendadak sekitar jam 4 petang, dengan arus deras mengalir dari kawasan lebih tinggi.
“Air datang seperti ombak besar dan alirannya sangat deras. Saya hanya sempat selamatkan kereta, tetapi semua perabot dan barangan elektrik dalam rumah tidak sempat diselamatkan.
“Saya baru empat bulan berpindah ke sini selepas membeli dan mengubah suai kediaman ini sejak awal tahun ini dan semua perabot serta barangan elektrik masih baharu. Semuanya rosak akibat banjir ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Thiyaga berkata, jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM100,000, termasuk kos menggantikan perabot, barangan elektrik dan mengecat semula dinding rumah.
Beliau berkata, kejadian yang berlarutan sehingga kira-kira jam 5.30 petang itu adalah banjir paling teruk pernah dialaminya.
Katanya, terdapat timbunan pokok besar di kawasan sekitar yang mungkin mengganggu aliran air.
“Air mula surut sekitar jam 5 hingga 5.30 petang selepas hujan reda. Selepas itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pihak berkaitan datang membantu.
“MPAJ turut membantu membersihkan jalan dan memaklumkan kontraktor untuk membersihkan longkang yang tersumbat, manakala penduduk membersihkan rumah masing-masing,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nazrul Afiq, berkata beliau terkejut melihat paras air meningkat sehingga memasuki kediamannya kerana tidak pernah berdepan banjir seteruk itu sebelum ini.
Katanya, banjir pernah berlaku di kawasan berkenaan tahun lalu, namun paras air ketika itu tidak setinggi kejadian semalam.
“Saya terkejut apabila melihat air naik dengan begitu tinggi sehingga memasuki rumah dan merosakkan beberapa struktur kukuh seperti dinding dan pagar rumah. Ini kali pertama saya mengalami banjir dengan paras air setinggi ini dan memang tidak dijangka,” katanya.
Nazrul berkata, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat dua kunci air yang mempengaruhi aliran di kawasan berkenaan, manakala air dalam longkang mengalir deras walaupun ketika tiada hujan.
Katanya, apabila hujan lebat, air dari longkang berkumpul akibat tekanan aliran yang kuat.
Beliau berkata, jirannya yang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan turut mendapati terdapat pokok dan kayu yang sudah ditebang tetapi tidak dibersihkan sepenuhnya, yang didakwa menyebabkan longkang tersumbat dan menyumbang kepada kejadian banjir.
Nazrul turut menceritakan situasi mencemaskan ketika kejadian apabila melihat seorang wanita cuba keluar dari kawasan berkenaan ketika paras air sedang meningkat.
“Saya melihat sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang wanita hampir dihanyutkan air deras apabila dia cuba memandu keluar dari lorong kawasan kediaman kami sehingga kereta itu tersekat di jalan.
“Bagaimanapun, keadaannya selamat selepas air mulai surut apabila hujan reda. Penduduk tidak mahu lagi situasi seperti ini berulang kerana dikhuatiri boleh mengancam nyawa penduduk dan orang awam yang berada di kawasan ini,” katanya.
Beliau berharap tindakan susulan dapat diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Banjir sama turut menyebabkan struktur tembok sebuah sekolah di kawasan berhampiran runtuh.
From: Nazura

