KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli semakin bersemangat untuk mencipta keputusan lebih baik di Grand Prix (GP) Jepun bermula 2 hingga 4 Oktober ini selepas meraih penamat kesembilan di GP Austria, semalam.
Penamat itu bukan saja memberikan suntikan motivasi buat pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI berkenaan, malah membantu memperbaiki kedudukannya dalam carta keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3.
Beraksi di Litar Red Bull Ring, Hakim Danish mencatat masa 33 minit 45.917 saat (s) untuk mengutip tujuh mata berharga hasil persembahan konsisten dalam perlumbaan berkenaan.
Tambahan tujuh mata itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun berkenaan kini mengumpul 101 mata untuk menduduki tangga ketujuh keseluruhan.
Malah, Hakim Danish melebarkan jurang kepada satu mata ke atas pelumba Honda Team Asia dari Indonesia, Veda Pratama yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.PauseNextMute
“Pada awal perlumbaan, saya melakukan permulaan yang baik dan cuba memacu jentera semaksimum mungkin sehingga berjaya memperbaiki beberapa kedudukan.
“Bagaimanapun, pada pertengahan saingan, saya agak bergelut kerana terlalu memaksa jentera hingga melakukan kesilapan yang menyebabkan saya ketinggalan semula ke belakang.
“Menjelang penghujung perlumbaan, saya berusaha untuk bangkit semula dan memecut bagi memintas beberapa pelumba di hadapan saya. Keserasian saya dengan jentera juga bertambah baik.
“Saya amat teruja untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Asia, khususnya di Jepun, dan bertekad untuk mencatatkan keputusan yang lebih cemerlang. Terima kasih atas sokongan berterusan semua pihak,” katanya menjelang perlumbaan di Mobility Resort Motegi.

