Regu berpasukan mara ke separuh akhir

NAGOYA: Skuad sepak takraw negara kekal di landasan tepat untuk menamatkan kemarau pingat emas selama 36 tahun apabila melangkah ke separuh akhir acara regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai juara Kumpulan B.

Kejayaan itu hadir selepas anak buah Ahmad Jais Baharun menewaskan India 3-0 pada aksi terakhir kumpulan di Nagoya City Mizuho Arena di sini, sebentar tadi.

Malaysia dijangka berdepan naib juara Kumpulan A yang akan ditentukan antara Indonesia atau Korea Selatan pada aksi separuh akhir, Khamis ini.

Regu pertama negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan trio India, Malemnganba Singh Sorokhaibam, Arun dan Akash Yumnam 15-13, 11-15, 15-6.

Regu kedua negara yang menampilkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias pula memastikan Malaysia terus menguasai perlawanan apabila mengatasi Lokhon Sigh Elangbam, Ram Kumar Sharma dan Henary Singh Wahengbam 15-9, 15-12.

Kemenangan bergaya itu dilengkapkan regu ketiga yang dibarisi Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan selepas menewaskan Shyam Singh Chundawat, Ashok Singh Mayengbam serta Jasvir 15-11, 15-5.

Sebelum ini, Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah Jepun sebelum mengulangi keputusan sama ketika menewaskan Filipina.

Malaysia memburu emas pertama acara regu berpasukan selepas kali terakhir memenanginya pada Sukan Asia Beijing 1990.