KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) kerana tidak hadir bagi 42 kes pertuduhan gagal mengemukakan dokumen dan menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak.
Hakim Nik Habri Muhamad mengeluarkan waran berkenaan selepas tertuduh yang juga pemilik perniagaan borong minyak masak, Pui Tiong Lam, 61, gagal hadir ke mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 5 November depan sebagai tarikh sebutan waran tangkap.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Siti Edabayu Subhan dan Pegawai Pendakwa, Muhammadi Iman Masjuri, memaklumkan Tiong Lam selaku Orang Kena Saman (OKS) sepatutnya berdepan 42 pertuduhan hari ini, namun gagal hadir tanpa alasan kukuh.
“Sehubungan itu, kita memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap OKS,” katanya.PauseNextMute
Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammadi Iman berkata, OKS mempunyai keseluruhan 72 pertuduhan bagi tempoh dua hari sehingga esok.
“Hari ini sepatutnya 42 pertuduhan iaitu satu kes mengikut Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal mengemukakan dokumen membabitkan kes minyak masak.
“Baki 41 pertuduhan lagi mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu gagal selenggara buku stok minyak masak.
“Kesalahan didakwa dilakukan pada Ogos 2024 dan Mac lalu, manakala esok mengikut jadual sebanyak 30 pertuduhan akan dibacakan sekiranya tertuduh hadir,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pertuduhan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

