ROM: Pihak berkuasa Itali menemukan wang tunai berjumlah 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang disembunyikan dalam dinding, lantai dan perabot sebuah pangsapuri di Napoli pada Isnin, dalam serbuan awal pagi yang membawa kepada penahanan 34 individu.
Pegawai penguat kuasa undang-undang anti-mafia menemukan wang tunai dalam bentuk wang kertas 50 euro di sebuah kediaman di Caivano, menurut kenyataan polis tentera Napoli Carabinieri kepada CNN.
Bongkah wang kertas yang dibalut dengan selofan dan disusun kemas di bawah jubin lantai serta laci tersembunyi di dalam almari pakaian itu dikeluarkan menggunakan baldi plastik sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan kalis peluru.
Polis turut menemukan 11 jam tangan mewah jenama Rolex, senjata api dan peralatan menjual dadah dalam serbuan berkenaan, kata pegawai pada sidang media di Napoli pada Isnin.
Serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi sulit selama beberapa bulan yang diketuai pendakwa raya anti-mafia Neapolitan, Nicola Gratteri.PauseNextMute
Menurut Gratteri, pihak berkuasa turut memintas talian telefon bimbit milik anggota mafia yang dipenjarakan selepas peranti berkenaan diseludup masuk oleh ahli keluarga.
“Bagi membuktikan kepentingan operasi ini, di satu kediaman sahaja, kami merampas wang tunai 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) selain jam tangan berharga,” katanya.
Pihak berkuasa memaklumkan maklumat berkenaan diperoleh daripada pemberi maklumat yang memberikan bukti kepada pendakwa raya sebagai pertukaran untuk mendapatkan perlindungan.
Mereka yang ditahan didakwa anggota kumpulan Angelino clan yang dikatakan sudah meresap ke Caivano sehingga pentadbiran tempatan terpaksa diletakkan di bawah pentadbiran kehakiman tahun lalu, kata Gratteri.
Menurut kenyataan Carabinieri, 34 individu itu dituduh atas kesalahan persatuan jenayah berunsur mafia, pengedaran dadah, pemerasan dan pemilikan dadah untuk tujuan pengedaran. Pihak berkuasa turut membongkar kaedah kumpulan itu yang menggunakan sistem “keusahawanan” dengan menempatkan individu secara bergilir-gilir bagi menjalankan kegiatan haram.
Wang yang dirampas akan dimasukkan ke dalam “Tabung Keadilan” negara bagi menyokong mangsa jenayah terancang. Bagaimanapun, Gratteri berseloroh bahawa sebahagian wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk menampung kos pemintasan talian.
“Saya terfikir apabila menteri mahu mengurangkan pemintasan talian bagi menjimatkan wang. Namun dengan 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang ditemukan hari ini dan akan disalurkan terus ke Tabung Keadilan, kami sudah membayar kos pemintasan talian selama sembilan tahun di Napoli sahaja. Kami perlu menjalankan beberapa lagi operasi seperti ini,” katanya.
Serbuan itu berlaku ketika kerajaan memperkenalkan “Model Caivano” pada 2023 bagi memulihkan bandar berkenaan dan mencegah jenayah. Namun, selepas penahanan itu, beberapa ahli pembangkang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai kegagalan inisiatif itu termasuk Ahli Parlimen Francesco Borrelli yang berkata realiti siasatan menunjukkan keadaan berbeza daripada dakwaan kemenangan muktamad terhadap jenayah terancang.

