PENGAMPUNAN bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membolehkan Perdana Menteri Malaysia keenam itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 menjadi lembaran baharu bagi hukuman penjara di negara ini.
Malaysia sebelum ini tidak pernah mempunyai ketetapan sedemikian dalam hukuman penjara dan situasi itu menimbulkan polemik bagaimana pengurusan pelaksanaan hukuman itu bakal dilakukan.
Adakah Najib akan menjadi seorang banduan yang bebas dalam kawalan atau hanya berkurung di rumah yang dikawal ketat seperti fasiliti penjara negara? Persoalan ini ditunggu semua pihak, kerana setakat ini tiada prosedur operasi standard (SOP) hukuman tanpa jeriji yang boleh dirujuk atau dimuktamadkan di negara ini.

Biarpun Malaysia masih tidak mempunyai mekanisme jelas dalam penahanan di rumah, beberapa negara jiran dilihat sudah melaksanakan tindakan ini sejak sekian lama seperti Singapura yang mempunyai peruntukan khusus dalam Prisons Act 1933.
Di Singapura, seorang banduan layak dipertimbangkan untuk ‘home detention’ selepas menjalani sekurang-kurangnya 14 hari hukuman, tertakluk kepada syarat kelayakan dan kategori kesalahan antaranya; wajib berada di kediaman pada waktu yang ditetapkan, membenarkan pegawai penjara memasuki kediaman untuk pemeriksaan dan memakai peranti pemantauan elektronik.
Undang-undang Singapura menetapkan bahawa individu di bawah ‘home detention order’ masih dianggap menjalani hukuman penjara, namun juga boleh bekerja, belajar atau menjalani khidmat masyarakat.
Ia adalah Program Berasaskan Komuniti (Community Based Programme, CBP) yang menyediakan ruang kepada banduan yang layak untuk menjalani baki tempoh hukuman mereka di kediaman masing-masing, dengan tujuan untuk memudahkan proses integrasi semula ke dalam masyarakat secara lebih berperingkat dan tersusun.
Beberapa negara juga sudah sekian lama melaksanakan sistem tahanan di rumah sebagai alternatif kepada pemenjaraan konvensional, dengan menetapkan syarat operasi, bentuk pemantauan serta mekanisme penguatkuasaan yang jelas.
Di sesetengah negara, individu yang menjalani tahanan di rumah turut dibenarkan keluar bagi tujuan tertentu seperti bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, mengikuti program pemulihan atau memenuhi keperluan lain yang diluluskan.
Australia misalnya mempunyai beberapa model tahanan rumah mengikut negeri, antaranya Northern Territory yang membolehkan mahkamah menggantung hukuman penjara dan mengenakan hukuman tahanan rumah dengan pemantauan elektronik, manakala New South Wales juga mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukum sama bagi kategori pesalah tertentu.
Di Amerika Syarikat (AS), ‘residential confinement’ atau ‘house arrest’ digunakan dalam beberapa bidang kuasa sebagai alternatif kepada pemenjaraan atau sebagai syarat tempoh percubaan dan parol.
Sweden antara negara terlama menggunakan pemantauan elektronik sebagai sebahagian daripada pelaksanaan hukuman di luar penjara. Sebahagian pesalah juga menjalani hukuman di komuniti dengan kawalan elektronik.
Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) menjadi antara mekanisme penting dalam proses penahanan di rumah, untuk memastikan banduan tidak bergerak bebas tanpa pengawasan dan berada di kawasan dibenarkan sahaja.
Ia lazimnya dipakai pada buku lali dan direka untuk memantau lokasi pemakai secara elektronik, dan maklumat berkaitan pergerakan boleh digunakan pihak berkuasa untuk menentukan sama ada individu itu mematuhi perintah tahanan di rumah atau melakukan pelanggaran syarat.
Dalam pelaksanaan tahanan di rumah, EMD bukan sekadar alat untuk mengetahui lokasi seseorang, tetapi menjadi sebahagian daripada sistem kawalan yang menghubungkan syarat hukuman dengan mekanisme penguatkuasaan.
Peranti itu perlu berfungsi sebagai sebahagian daripada sistem pemantauan yang merangkumi pusat kawalan, pegawai pemantau serta prosedur tindakan sekiranya berlaku pelanggaran.
Dalam sesetengah sistem, teknologi berkenaan menggunakan maklumat lokasi bagi menentukan sama ada pemakai berada di kawasan yang dibenarkan atau keluar daripada zon ditetapkan.
Mengulas perkara itu, Penganalisis Jenayah dan Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim, berkata di Malaysia pemakaian EMD sudah lama dilaksanakan khususnya kepada mereka yang melalui penahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Bagaimanapun, bagi banduan yang melalui proses penahanan di rumah, terdapat peraturan dan arahan ketat yang dijangka akan dilaksanakan termasuklah kawasan kediaman yang digazetkan sebagai kawasan penjara.
“Penggunaan peranti pemantauan sebagai syarat tahanan di rumah bergantung kepada keputusan Jabatan Penjara Malaysia. Jika banduan dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah, Jabatan Penjara akan menetapkan syarat dan kawalan yang ketat untuk memastikan banduan mematuhi peraturan.
“Pemakaian EMD sudah dilaksanakan kepada tahanan SOSMA untuk memastikan gerak geri mereka dipantau sepenuhnya oleh pihak berkuasa dan sekiranya didapati melanggar peraturan, tindakan termasuk pencegahan akan segera dilakukan ke atas mereka ini.
“Penahanan di rumah pula pastinya mempunyai arahan tetap yang juga tidak dilanggar dan ‘order’ itu pastinya kembali sekiranya terdapat pelanggaran dan atau risiko tertentu,” katanya.

