IPOH: Pekerja kedai cuci kereta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh anggota polis trafik dalam kejadian rempuhan ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya, minggu lalu.
Tertuduh, K Viknes, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh dengan memandu kereta sebelum merempuh Lans Koperal Badrul Izwany Pauzi, 29, di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini, kira-kira jam 10 pagi, 24 September lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan menyedari tindakannya boleh menyebabkan kematian anggota terbabit.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.PauseNextMute
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Raveena, manakala tertuduh diwakili peguam, Jagdave Singh.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 dengan mengambil kira kecederaan serius mangsa yang juga penjawat awam dan sedang menjalankan tugas, selain memohon syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Jagdave memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya belum berkahwin, berpendapatan RM50 sehari serta perlu menanggung ibu dan dua adik yang masih bersekolah.
Norhayati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh turut berdepan lapan pertuduhan trafik mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu di bawah pengaruh dadah, memandu secara berbahaya, melarikan diri daripada sekatan jalan raya, gagal berhenti selepas diarahkan polis beruniform, gagal berhenti selepas kemalangan serta memandu tanpa lesen, cukai jalan dan perlindungan insurans.

