MANCHESTER: Komuniti di Manchester menyuarakan rasa terkejut dan kecewa terhadap skala salah laku kewangan Manchester City, malah ada yang menggesa kelab itu diturunkan dari Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Ia memalukan bola sepak. Bola sepak adalah sukan yang hebat dan kita tidak sepatutnya berdepan cerita seperti ini,” kata Karem Fagega, pelajar berusia 21 tahun, sambil menggelengkan kepala kerana tidak percaya dengan kejatuhan ‘pasukan yang begitu bagus’.
Suruhanjaya bebas mendapati kelab yang mendapat sokongan Abu Dhabi itu mengatur kontrak ‘palsu’ dengan beberapa rakan komersial bagi menaikkan pendapatan dan mengurangkan kos lebih 900 juta pound (RM4.8 bilion) antara tahun 2009 hingga 2018.
Sepanjang tempoh itu, City memenangi gelaran Liga Perdana tiga kali selain menjulang satu Piala FA dan tiga Piala Liga.
“Mereka mempunyai wang untuk melakukan semuanya dengan betul, tetapi mereka memilih untuk melakukannya dengan cara salah. Jadi saya agak terkejut apabila mengetahui perkara ini,” kata pengurus akaun berusia 33 tahun, Sabrina Lodi.
Bagaimanapun, dia berkata pada pandangannya, Manchester City bukan satu-satunya kelab yang melakukan perkara itu di seluruh dunia, sebaliknya hanya mereka yang tertangkap.
Bagi Connor Emery, 25, seorang pekerja runcit yang menyokong pencabar City dalam Liga Perdana, Liverpool, keputusan ‘buruk’ itu mengejutkannya.
“Sejujurnya saya sukar mempercayainya. Saya tidak pernah menyangka kelab itu akan menghadapi masalah kerana apa-apa perkara,” katanya sambil mengakui dia menjangka skandal berkenaan akan ‘disapu ke bawah karpet’.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan hukuman terhadap kelab itu, ada yang berkata mereka mahu City diturunkan liga, namun menjangka kelab berkenaan dapat mengelak hukuman itu.
Menteri Sukan Britain, Lisa Nandy memberi amaran bahawa hukuman paling berat adalah sesuatu yang sangat serius dan sesebuah kelab boleh disingkirkan daripada Liga Perdana.
“Saya secara peribadi fikir mereka patut diturunkan liga,” kata Corey, 18, seorang pelajar dan penyokong Manchester United, namun menjelaskan keputusan itu bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh Liga Perdana.
“Saya mahu mereka diturunkan liga, mungkin dipotong mata hingga menyebabkan mereka tersingkir,” kata Emery.
Namun, dia ragu-ragu perkara itu akan berlaku sambil mengangkat bahu dan berkata: “Mungkin mereka hanya akan didenda.”
Dalam reaksi awal daripada mereka yang rapat dengan kelab itu, bekas pertahanan City, Micah Richards berkata dalam podcast ‘The Rest is Football’ bahawa dia sangat kecewa dengan pendedahan mengenai kelab yang disertainya ketika berusia 14 tahun.
“Saya berasa sedih. Saya berasa marah. Saya juga agak keliru,” katanya sambil menyentuh kekurangan maklumat dan percanggahan kenyataan selepas Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Ferran Soriano, menyifatkan keputusan itu sebagai ‘teori konspirasi Liga Perdana’ dan menegaskan kelab itu akan dibuktikan tidak bersalah.
Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, berkata sekiranya dia adalah pemain City, dia akan membuang semua pingat yang dimenangi.
“Mereka tahu perkara ini akan menyakiti ramai orang, tetapi mereka tetap melakukannya. Kalau saya seorang pemain, saya 100 peratus akan membuang pingat-pingat itu ke dalam tong sampah,” katanya kepada televisyen ITV.

