KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mengukuhkan portfolio hospitalitinya menerusi kerjasama strategik dengan Marriott International bagi pembangunan empat hotel baharu di Malaysia membabitkan keseluruhan 888 bilik.
Empat projek itu terdiri daripada The Ritz-Carlton, Putrajaya; W Langkawi; Aloft by Marriott Sepang dan Aloft by Marriott Johor Bahru Plentong.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng, berkata empat hotel itu akan memperkukuh kehadiran kumpulan dalam segmen mewah dan perkhidmatan terpilih di destinasi utama negara.
Beliau berkata, ia akan memberikan kedudukan baik kepada kumpulan sebagai pemilik aset hospitaliti yang signifikan, dengan jumlah hotel milik IOIPG yang sedang dan akan diuruskan Marriott meningkat kepada 15 hotel.
“Pengembangan segmen hospitaliti IOIPG dijangka mencapai keseluruhan 4,648 bilik menjelang 2032, sekali gus memperkukuh jejak kumpulan dalam operasi perniagaan di Malaysia, Singapura dan China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden Marriott International Asia Pasifik tidak termasuk China, Rajeev Menon, berkata Malaysia terus menjadi pasaran pertumbuhan penting bagi Marriott International.
Beliau berkata, hubungan jangka panjang pihaknya dengan IOIPG telah membolehkan Marriott International mengembangkan portfolio kami merentasi pelbagai jenama dan destinasi.
“Projek ini mencerminkan keyakinan bersama kami terhadap pertumbuhan jangka panjang sektor hospitaliti Malaysia dan komitmen kami untuk bekerjasama dengan pemilik yang dipercayai bagi membawa jenama dan pengalaman yang bersesuaian ke destinasi yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.
“Daripada resort mewah dan hotel bandar hinggalah kepada tawaran perkhidmatan terpilih, kami berhasrat untuk terus mengukuhkan kehadiran kami di Malaysia,” katanya.
Di Langkawi, W Langkawi dengan 173 bilik dijadual dibuka pada 2030 dan bakal menjadi kemunculan pertama jenama berkenaan di pulau peranginan itu, dengan lokasi di Pantai Kok berhampiran Langkawi Sky Bridge serta Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Sementara itu, The Ritz-Carlton, Putrajaya yang mempunyai 215 bilik dirancang dibuka pada 2032 sebagai sebahagian daripada menara pembangunan bercampur setinggi 70 tingkat dalam fasa ketiga IOI Resort City.
Di Sepang pula, Aloft by Marriott Sepang dengan 250 bilik dijangka beroperasi pada 2030 dan akan menjadi sebahagian daripada pembangunan komersial seluas 40 ekar di Kota Warisan yang turut merangkumi komponen runcit, pejabat dan kediaman.
Hotel itu terletak 12 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan dijangka mendapat manfaat daripada rangkaian jalan raya serta sambungan rel berhampiran, termasuk stesen Salak Tinggi Express Rail Link (ERL).
Aloft by Marriott Johor Bahru Plentong dengan 250 bilik pula dijangka dibuka pada 2030 sebagai sebahagian daripada pembangunan bercampur IOI @ Plentong, dengan kedudukan berhampiran kawasan perindustrian Pasir Gudang, Pelabuhan Johor serta laluan ke pusat bandar Johor Bahru dan Tambak Johor-Singapura.
Empat hotel baharu itu melengkapkan projek The Westin Puchong yang diumumkan pada Julai lalu, menjadikan keseluruhan lima pembangunan dalam portfolio kerjasama Marriott dan IOIPG di Malaysia, dengan The Westin Puchong mempunyai 324 bilik dan dijangka dibuka pada 2031.

