Jaga daddy jika ibu pergi dahulu

KUALA LUMPUR: Selepas hampir sembilan tahun mendirikan rumah tangga, Farah Nur Ab Aziz masih setia menemani setiap langkah dan menggenggam erat tangan suaminya yang tidak dapat melihat dunia.

Malah, jauh di sudut hati Farah, 35, dia sudah menitipkan satu amanah besar kepada dua anak perempuan mereka, Hayfa dan Hamra masing-masing berusia lima dan dua tahun supaya menggantikan tempatnya jika suatu hari nanti dia terlebih dahulu meninggal dunia.

Eksekutif kanan sebuah syarikat itu berkata dia mahu kasih dan kesetiaannya terhadap suami, Hafiyyan Lali, 36, menjadi contoh kepada dua anak mereka supaya kelak terus menjaga serta tidak meninggalkan lelaki itu keseorangan hingga ke penghujung hayatnya.

“Sebagai isteri, saya selalu berdoa kami akan sentiasa berpegangan tangan hingga ke akhir hayat.

“Tetapi, andai suatu hari nanti perjalanan saya terhenti di tengah jalan, saya titipkan Hayfa dan Hamra supaya terus memimpin tangan daddy mereka di kiri dan kanan serta meneruskan perjalanan hingga ke akhirnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Farah, keputusan mengahwini Hafiyyan bukan dibuat atas dasar simpati sebaliknya dia melihat sendiri kesungguhan, ketabahan dan sikap lelaki berkenaan yang tidak mudah berputus asa dalam pelajaran mahupun pekerjaan walaupun kehilangan penglihatan sepenuhnya pada 2006 selepas disahkan menghidap glaukoma.

Perjalanan sola dari KL ke Melaka

Katanya, kesungguhan Hafiyyan turut pernah menyentuh hatinya apabila lelaki itu melakukan perjalanan seorang diri dari Kuala Lumpur ke Melaka semata-mata untuk membuat kejutan hari sempena hari lahirnya selain menempah sendiri sebuah restoran bagi meraikan hari istimewa itu.

“Perkara yang membuatkan hati saya betul-betul terpaut apabila Hafiyyan menyatakan hasrat untuk mengahwini saya selepas tamat pengajian.

“Dia sendiri meletakkan syarat hanya akan mengahwini saya selepas dua tahun apabila sudah mempunyai pekerjaan bagi memastikan lebih bersedia memikul tanggungjawab.

“Memang dia kotakan janji kerana selepas tempoh itu, keluarganya datang ke kampung saya di Melaka untuk melamar dan kami akhirnya berkahwin pada 8 Disember 2017,” katanya.

Farah mengakui kehidupan bersama pasangan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mempunyai cabaran tersendiri terutama apabila ada urusan kecemasan atau perkara di luar rumah yang perlu dilakukannya sendiri, namun mereka memilih untuk saling melengkapi.

“Selalunya saya akan menguruskan urusan di luar manakala Hafiyyan mengambil alih perkara yang mampu dilakukannya di rumah.

“Walaupun pergerakannya terbatas dan tidak boleh memandu, dia tetap akan memastikan kenderaan berada dalam keadaan bersih dan selamat sebelum saya menggunakannya.

“Ketika saya sarat mengandung dan berpantang pula, makan minum saya tersedia dan suami mengambil alih tugas menjaga anak serta keperluan rumah supaya saya boleh fokus untuk sihat semula,” katanya.

Akui pernah berasa malu

Mengenai pandangan orang sekeliling, katanya, pada awal perkenalan mereka semasa menuntut di Universiti Malaya (UM), dia mengakui pernah berasa sedikit malu apabila ramai memandang mereka terutama ketika Hafiyyan menggunakan tongkat putih.

“Saya berasa malu kerana orang sekeliling memandang kami, tetapi lama kelamaan, saya sudah lali, malah saya lagi suka dan bangga berjalan di samping suami.

“Ada juga sesetengah orang berpandangan, saya mendekati Hafiyyan untuk mengambil kesempatan terhadap kebaikannya dan kemudahan OKU.

“Tetapi saya tidak ambil kisah dengan cakap orang kerana saya berpegang kepada prinsip membantu suami dan rakan OKU lain ketika itu, malah suami juga selalu memberikan kata-kata semangat,” katanyq.

Katanya, dia berharap masyarakat tidak hanya melihat kekurangan pada individu OKU penglihatan sebaliknya turut mengiktiraf kebolehan dan kelebihan yang dimiliki golongan itu.