Azizulhasni bangga peningkatan skuad pecut wanita negara

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan meraih emas dan gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Datuk Mohd Azizulhasni Awang memilih untuk berkongsi kejayaan dengan barisan pelumba wanita negara yang disifatkannya wajar menerima pujian atas peningkatan prestasi mereka.

Jaguh berbasikal trek negara itu melahirkan rasa bangga terhadap skuad pecut berpasukan wanita yang berjaya menghadiahkan pingat perak selepas memberi tentangan kepada kuasa besar China pada perlumbaan akhir, sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa yang diraih pada Sukan Asia Hangzhou.

Menerusi hantaran di Instagram, Azizulhasni atau lebih mesra disapa Jijoe berkata peningkatan itu adalah hasil kerja keras serta dedikasi setiap pelumba sepanjang persiapan menghadapi temasya terbesar Asia berkenaan.

“Selain daripada kejayaan emas dan gangsa saya di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tempoh hari, pujian juga harus diberikan kepada pasukan pecut berpasukan wanita negara yang mendapat pingat perak di perlumbaan akhir menentang pasukan gergasi China,” kata Azizulhasni.

Menurutnya, beliau sendiri dapat melihat kesungguhan pelumba wanita negara ketika menjalani latihan bersama skuad Malaysia, termasuk keberanian mereka keluar daripada zon selesa untuk meningkatkan prestasi.

“Ada ketika dan masanya apabila berlatih bersama pasukan Malaysia, saya sendiri melihat bagaimana mereka keluar dari zon selesa demi peningkatan prestasi. Ada di antara mereka terpaksa menempuhi pelbagai cabaran seperti kecederaan dan sebagainya dan yang paling penting adalah mereka sentiasa merendah diri dalam keseluruhan proses tersebut,” katanya.

Selain kejayaan berpasukan, Azizulhasni turut memberikan pujian khusus kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang menyumbang pingat gangsa dalam acara keirin individu, terutama terhadap keberaniannya berdepan pelumba yang memiliki fizikal lebih besar dan kuat.

“Apa yang saya suka tentang Nurul Izzah adalah beliau mampu bertukar menjadi individu yang berbeza ketika berperang di medan yang besar. Saya memuji semangat perjuangan beliau ketika menentang pelumba-pelumba yang jauh lebih besar dan kuat dan bagaimana Nurul Izzah memberikan seluruh keringat hingga ke garisan penamat.

“Saya sentiasa berharap mereka terus kekal komited, selalu dahagakan kejayaan dan sentiasa belajar daripada kesilapan kerana mereka semua mempunyai potensi yang besar untuk berjaya,” tambahnya.