BESUT: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan lemas terapung dalam parit sawah padi berhampiran rumah neneknya di Kampung Bukit Kenak, Tok Kundur, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata mangsa, Intan Inara Mohammad Hariz Husaini, disahkan meninggal dunia di hospital.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang selepas mangsa dipercayai keluar melalui pintu belakang dan bermain di bahagian belakang rumah neneknya seorang diri tanpa disedari sesiapa.
“Mangsa kemudian dijumpai terapung oleh bapa saudara mangsa di dalam parit sawah padi kira-kira 300 meter dari rumah neneknya pada kira-kira jam 6.10 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azamudin berkata, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada kira-kira jam 8.53 malam.
“Mangsa dibawa ke Hospital Besut dan disahkan meninggal dunia. Proses bedah siasat akan dijalankan pagi ini untuk menentukan punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Ibu bapa dinasihatkan lebih berwaspada memantau keselamatan anak untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

