MELAKA – Kegiatan licik dua pemungut derma tabung wakaf al-Quran yang disyaki mengutip lebih RM1,000 sehari tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak setahun lalu akhirnya terbongkar.
Ia selepas tindakan dua lelaki masing-masing berusia 32 dan 48 tahun berjaya dihidu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah pasar raya di Bachang, di sini, Rabu lalu.
Menurut sumber, kegiatan haram itu terbongkar dalam operasi penguatkuasaan jam 3.05 petang menyaksikan dua lelaki terbabit ditahan bersama tabung mengandungi wang tunai berjumlah RM442.20.
“Hasil soal siasat awal mendapati, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) mengaku bekerja dengan sebuah syarikat dan kutipan tertera nama program wakaf al-Quran itu tidak mendapat kebenaran MAIM.
“Purata kutipan mereka boleh mencecah lebih RM1,000 sehari dan menerima gaji bulanan yang bergantung kepada jumlah kutipan diperoleh.
“Hasil maklumat awam menunjukkan kegiatan itu dipercayai sudah dijalankan sejak kira-kira setahun lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sumber :- MalaysiaGazette

