Taburan hujan di tadahan Empangan Pedu susut 30 peratus

ALOR SETAR: Taburan hujan di kawasan tadahan Empangan Pedu berkurangan hampir 30 peratus berbanding purata akibat cuaca panas dan kering berpanjangan dari Januari hingga Mei lalu.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan memaklumkan keadaan itu menjejaskan aliran masuk air ke empangan dan menyebabkan paras takungan merosot.

“Sehingga semalam, jumlah keseluruhan simpanan air di tiga empangan MADA adalah 40.13 peratus.

“Daripada jumlah itu, Empangan Pedu merekodkan simpanan 40.82 peratus, diikuti Empangan Ahning 45.38 peratus dan Empangan Muda sebanyak 25.92 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi meningkatkan simpanan air empangan, MADA melaksanakan lima siri operasi pembenihan awan (OPA) sejak Februari lalu dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).Play

Katanya, susulan permohonan MADA pada 15 September lalu, NADMA bersetuju melaksanakan OPA di kawasan tadahan Empangan Muda dan Pedu pada Isnin lalu hingga esok bagi menggalakkan hujan.

“Dalam usaha mengurangkan penyusutan simpanan air empangan, MADA menyarankan pesawah memanfaatkan air hujan yang bertakung di kawasan sawah sebagai sumber pengairan bagi Musim 1/2026 tanpa pelepasan air empangan untuk tujuan pengairan padi,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pelepasan air secara berhemat hanya dilaksanakan bagi memenuhi keperluan air domestik dan industri serta mengekalkan paras air dalam saluran untuk pengukuhan tebing.

Katanya, MADA turut meneruskan pengoperasian 117 pam guna semula bagi memanfaatkan air dalam sistem saliran dan sungai untuk menyokong keperluan tanaman.

“Pengendalian struktur kawalan air dan sistem pengairan juga dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengagihan air ke kawasan sawah.

“Pemantauan berterusan turut dilakukan menggunakan sistem telemetri bagi memantau paras takungan empangan dan keadaan kawasan tadahan hujan,” katanya.

MADA berkata, menjelang fasa peralihan monsun sebelum bermulanya Monsun Timur Laut, pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan paras takungan empangan bagi mengoptimumkan pengumpulan serta pengurusan sumber air.

Katanya, peningkatan simpanan air bergantung pada jumlah, taburan dan tempoh hujan yang diterima di kawasan tadahan masing-masing.

MADA turut memberi jaminan bekalan air mencukupi bagi musim penanaman padi akan datang akan terus dinilai berdasarkan paras takungan, aliran masuk air, perkembangan cuaca dan keperluan sebenar di lapangan.

Penilaian itu dilaksanakan menerusi penyelarasan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi berkaitan bagi menyokong kelangsungan penanaman padi dan keterjaminan makanan negara.